Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Luka Di Kepala & Sakit Tengkuk, 2 Pelajar Tingkatan Dua SMK Seri Melor Mangsa Insiden Tangki Air Masih Dapatkan Rawatan

Awani
10/08/2022 10:20 MYT
Dua daripada lima pelajar perempuan tingkatan dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor di Kota Bharu, Kelantan yang terbabit dengan insiden tangki air utama pecah pada 10.05 pagi semalam, masih menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM).

Pemangku Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata sebelum ini, empat pelajar dihantar ke HUSM untuk rawatan manakala seorang lagi ke Klinik Kesihatan Mahligai.

"Seorang daripada pelajar tersebut mengalami luka di bahagian kepala dan menerima dua jahitan manakala seorang lagi mengalami sakit di bahagian tengkuk.

"Tiga lagi pelajar bagaimanapun tidak mengalami kecederaan dan dibenarkan pulang ke rumah," katanya.

Muhamad Zaki berkata laporan mengenai kejadian itu telah dibuat oleh guru penolong kanan SMK Melor.

"Beliau menyatakan terdengar satu letupan yang kuat di bahagian belakang bangunan pejabat.

"Pengadu terus pergi ke arah bunyi itu serta mendapati tangki air utama telah pecah dan kejadian berlaku ketika waktu rehat pelajar tingkatan satu, dua dan tiga," katanya.

Muhamad Zaki berkata insiden itu mengakibatkan kerosakan teruk kepada tangki utama, rumah enjin, laluan pejalan kaki, papan kenyataan, musala dan longkang.

Terdahulu, Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Jidin menerusi hantaran di laman Facebooknya telah mengarahkan pihak Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan tangki air di sekolah itu dengan segera.

Beliau berkata tindakan itu adalah bagi memastikan fasiliti dan infrastruktur sekolah sentiasa berada dalam keadaan baik serta selamat untuk kegunaan warga sekolah.

Sumber: Astro Awani

#Seri #SMK #Insiden Tangki Air #Melor
;