Berita

"Luka Pembedahan Alami Jangkitan, Saya Hampir Hilang Nyawa…." - Penyampai Radio Lite, Shaz Kongsi Kisah Hidap Kanser Payudara

gempak
Kamaruddin Razal
04/11/2019
06:25 MYT
Sponsor Banner
"Luka Pembedahan Alami Jangkitan, Saya Hampir Hilang Nyawa…." - Penyampai Radio Lite, Shaz Kongsi Kisah Hidap Kanser Payudara
Penyampai radio Lite, Shaz tidak pernah terfikir bahawa satu hari nanti dia akan menghidap penyakit yang cukup digeruni oleh kaum wanita, kanser payudara.
Ini kerana, tiada seorang pun dalam salasilah ahli keluarganya mempunyai rekod penyakit kanser.
Bagaimanapun, segala-galanya berubah selepas pemilik nama sebenar Shazmin Shamsuddin, 45, itu disahkan mengidap kanser payudara tahap satu pada Januari lalu.
"Semasa diberitahu keputusan ujian pemeriksaan saya positif kanser, saya sedih dan terperanjat.
"Pada masa itu, saya hanya teringatkan anak-anak saya. Bagaimanapun, saya agak bertuah kerana saya dapat mengesannya di peringkat awal lagi," katanya kepada Gempak.
Kongsi Shaz lagi, dia kemudian membuat pembedahan untuk membuang dua ketumbuhan yang dikesan pada bahagian kiri payudaranya.
"Bagaimanapun, selepas pembedahan, luka saya tidak baik sepenuhnya.
"Berlaku jangkitan kuman pada luka sehingga saya mengalami sepsis. Saya jatuh sakit dan hampir hilang nyawa disebabkan jangkitan kuman itu," kongsinya.
Begitupun, kata Shaz keadaannya kini sudah semakin pulih biarpun masih perlu melakukan pemeriksaan susulan.
"Ia merupakan 'hadiah' yang saya terima ketika menyambut ulang tahun kelahiran ke-45 pada Januari lalu," ceritanya.
Shaz ditemui ketika program Shaz's Breast Cancer Fight Club anjuran stesen radio Lite yang berlangsung di MuayFit, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Shaz antara tujuh pejuang kanser payudara yang berkongsi kisah perjalanannya dan pengalaman berdepan dengan cabaran hidup sebagai pejuang kanser.
Enam penghidap kanser payudara yang turut sama diundang untuk berkongsi cerita mereka ialah Dr. Siti Zubaidah Abdul Hakam, Hiba Abdul Rahman, Mahani Kassim, Audrey Herrera dan Zuraya Omar.
Ia merupakan program yang dianjurkan bersempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang disambut setiap Oktober.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024