Gaya Hidup
Lukisan Mural Punca Armenian Street Hilang Seri? Pelukis Lahir Rasa Kecewa
Pada yang pernah berkunjung ke Pulau Pinang dan melalui 'Armenian Street' pastinya anda akan tertarik dengan pelbagai lukisan mural yang dihasilkan di situ.
Antara yang paling mencuri tumpuan di sana sudah tentunya lukisan memaparkan kanak-kanak berada di atas basikal.
Namun, baru-baru ini pelukis gambar mural Ernest Zacharevic meluahkan rasa kecewa apabila kawasan berkenaan tidak lagi seperti dahulu.
Luahan berkenaan dizahirkan menerusi sebuah posting di Instagramnya.
Menurut Ernest, mural yang dilukisnya itu sedikit sebanyak telah ‘mengganggu’ tempat tersebut yang dahulunya tenang.
"Jalan ini tidak sama ketika pertama kali saya berpindah ke sana. Jalan warisan yang tenang dengan penduduk setempat yang menawarkan barang antik atau kedai potong rambut hanya RM6 telah diganti dengan kedai cenderamata, restoran, dan semua jenis kafe hipster," katanya.
Menurut Ernest lagi, dia juga pernah mempertimbangkan untuk memadam lukisan tersebut dan mengakhiri kedatangan pelancong yang terlalu ramai di kawasan tersebut.
"Disebabkan kawasan tersebut menjadi terlalu terkenal, ianya sedikit sebanyak menjejaskan tujuan utama pelancong iaitu mendalami dan merasai pengalaman sebenar di Pulau Pinang," katanya.