Meminjam kata-kata Melly Goeslaw pada malam konsertnya yang berlangsung tuntas - semoga momen ini masuk ke dalam buku dan menjadi peristiwa manis buat semua, itulah yang dibawa pulang oleh sekitar 10,000 peminat beliau.

Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? yang diadakan di Axiata Arena, Bukit Jalil telah mencetak sejarah baharu antara pertemuan panggung Melly dengan para peminatnya.

Graduasi

Semuanya sudah dimasukkan ke dalam buku peristiwa bertemu Melly untuk kesekian kalinya.

Lupakan tentang konsert atau persembahan yang pernah dilakukan figura tersohor Indonesia itu sebelum ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Ezuwan Ismail Pereka Malaysia Pertama Hasilkan Busana Buat Melly Goeslaw! - "Denim Couture Ini Nilainya RM130,000, Berat Lebih 15 Kilogram"

Mari bercakap tentang konsert yang berlangsung sekarang. Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? yang dibawakan oleh AKE Group dengan kerjasama Icon Entertainment.



Ini terutama apabila melihat kepada rendisi lagu yang dinyanyikan oleh Melly.

Sebagai penghibur yang sudah berdekad menyelusuri belantika muzik, Melly tahu bagaimana mahu membuat sebuah konsert ‘berantakan’.

Lalu isteri Anto Hoed itu membuka panggung dengan Tak Tahan Lagi yang terus mencuit adrenalin peminat sebelum disambung Ingin Dicintai Dan mencintai, Pencinta Wanita dan Berdua Lebih Baik yang membuat seluruh isi Axiata Arena bergema.

Konsert menjadi lebih bernyawa dengan bunyi mewah yang dimainkan oleh barisan orkestra yang patut diberi kredit ‘sang juara’ kerana telah mengimbangi persembahan Melly dengan baik sekali.

Malah susunan muzik yang dibikin untuk tembang-tembang lain seperti Ayat-Ayat Cinta, My Heart, medley Bimbang dan Denting, AADC serta Ratusan Purnama juga membuatkan konsert Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends? dengan tema graduasi lulus.

ARTIKEL BERKAITAN: Peminat Berbaju Sekolah, Joe Flizzow, Puteri Ariani Gamatkan Konsert Graduasi Melly Goeslaw

Lulus kerana hampir semua peminat menyanyi seiring Melly pada lagu-lagu yang didendangkan dengan penuh antusias.

Melly dan tim bijak untuk terus memastikan perjalanan konsert lancar dan menjadikan ia sebuah persembahan secara langsung — di mana kekurangan atau kelebihan adalah hal yang akan ditemui tetapi itulah yang membezakan mendengarkan karya di kaset, cakera padat mahupun radio berbanding menonton menghayati dan menikmati karya seni di hadapan mata.

Secara keseluruhan, tidak ada yang extravaganza di atas pentas. Penataan cahaya tidak berlebihan, tebaran grafik juga tidak menyesakkan. Fokus konsert ini adalah berpesta dan menyambut ‘graduasi’ semua.

Namun akan selalu terjadi improvisasi, seperti yang dengan begitu jelas menerusi lagu Jika.



Lagu cinta yang menyaksikan Melly berduet dengan Ari Lasso itu disuntik dengan elemen hip hop lalu kehadiran Joe Flizzow sebagai bintang tamu menyihir peminat dengan kehebatannya sebagai rapper sejati.

Melly kemudian berduet dengan pemenang tempat keempat America's Got Talent 2023, Putri Ariani yang menjadi seorang lagi sahabat pada konsertnya, Putri Ariani untuk mendendangkan Cinta.

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul Kongsi Pengalaman Bekerja Dengan Melly Goeslaw - “Saya Tak Sangka Akan Duduk Berhadapan Dengannya Di Studio”

Begitu juga saat Melly mendendangkan beberapa karya ciptaannya yang cukup meledak di Nusantara seperti Biarlah Rahsia milik Datuk Seri Siti Nurhaliza, Hanya Memuji (Shanty & Marcell) serta Jangan Pernah Berubah (Marcell) dan Ayat-Ayat Cinta nyanyian Rossa, beliau menyampaikannya dengan cara nyanyian seorang Melly Geoslaw.

Sebagai pencipta, Melly tahu lagu-lagu hit ini akan terus menghidupkan konsert miliknya sepanjang malam sehingga peminat terlupa bahawa setiap yang bermula akan berakhir.

Sehingga saat lagu terakhir Ku Bahagia didendangkan, peminat terus meminta Melly menghiburkan mereka dan ditunaikan dengan penuh suka cita.

Lulus

Dan meninggalkan konsert dengan tema graduasi yang menurut Melly ‘semuanya lulus’, Melly mengumumkan akan kembali bertemu peminat lewat kesinambungan konsert ketiga dengan tema Prom Night pada 31 Mei tahun depan.

Begitulah perjalanan Konsert Ada Apa Dengan Melly berakhir penuh mengujakan.



Kepuasan menikmati susunan muzik segar, aura eksentrik Melly yang bersahaja dan bagaimana hampir semua peminat mematuhi arahan hadir memakai pakaian berkonsep sekolah — itu sudah cukup membuktikan betapa Melly akan terus disanjungi semua pemujanya.

Foto: Bangsawan Pictures

Korang dah tengok filem pilihan nombor satu di GSC, The Experts?

Kalau belum, filem tempatan pecah panggung ini masih mendominasi pawagam tanah air. Jom, tonton The Experts di pawagam berhampiran korang hari ini.