HIBURAN

‘Luna’ Kritikal, Awal Ashaari Rayu Bantuan Orang Ramai - “Kami Memerlukan Penderma Darah…”

Asyraf Roslan 23/07/2025 | 00:55 MYT

Pengacara dan pelakon, Awal Ashaari memohon bantuan orang ramai apabila kucing peliharannya, Luna berada dalam keadaan kritikal dan kehilangan banyak darah.

Menurut Awal, kucingnya itu kini sedang dirawat di sebuah pusat perubatan haiwan dan memerlukan penderma darah dengan kadar segera.

“Assalamualaikum wbt. our cat, Luna dalam keadaan kritikal dan kehilangan banyak darah serta memerlukan penderma darah (kucing) yang bersesuaian,”

“Kami sangat menghargai pemilik kucing yang tinggal berhampiran yang ingin membantu, untuk bawa kucing peliharaan anda ke St. Angel Animal Medical Center, Puchong,” tulisnya.

Dalam pada itu, Awal turut memberitahu bahawa segala kos rawatan akan ditanggung oleh pihaknya, dan pemilik hanya perlu hadir bersama kucing ke hospital.

“Hadir bersama kucing anda di hospital, beritahu nama Luna dan segala kos akan dibiayai oleh pihak kami. Saya berada di hospital sekarang.”

Awal sempat menitipkan doa agar semua yang membantu diberikan ganjaran sebaiknya oleh Allah SWT.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen mendoakan agar urusan Awal dipermudahkan dan ada juga yang cuba memberi bantuan dengan kadar segera.

#Awal Ashaari #Kritikal #Kucing #Luna #Darah