Bukan calang-calang orang yang boleh berkerjasama dengan penyanyi dan komposer terkemuka, Datuk M. Nasir.

Lebih-lebih lagi untuk mendapatkan persetujuan beliau untuk menyanyikan lagu ciptaan sepenuhnya daripada komposer lain.

Bagaimanapun, M. Nasir membuat kejutan apabila tampil berkolaborasi dengan rapper baru, Kmy Kmo dan Luca Sickta menerusi single berjudul Zuhud.

Lebih menarik, dalam naskhah tersebut, penyanyi berusia 63 tahun itu hanya menyampaikan lagu ciptaan kedua-dua pendatang baru itu tanpa mengubah sebarang melodi atau lirik yang diberikan.

"Kalau orang menyanyi dengan saya, orang akan ingat saya akan ubah lagu itu. Bahkan, dulu sewaktu dengan Malique pun, baris lagu yang saya nyanyi, saya buat sendiri.

"Tapi kali ini, saya tidak membuat sebarang perubahan. Saya hanya mahu sampaikan apa yang mereka fikirkan. Saya mahu jadi sebagai penyanyi sahaja, itu keputusan saya," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di ibu pejabat Universal Music Malaysia di Petaling Jaya, Selangor semalam.

A post shared by Universal Music MY (Domestik)? (@universalmusic_my) on



Menurut M.Nasir, dia membuat keputusan untuk berkolaborasi dengan rapper tersebut kerana tertarik dengan sentuhan muzik yang mereka perkenalkan.

"Sebenarnya, saya belum pernah dengar muzik mereka sebelum ini. Ingatkan mereka akan buat lagu kontemporari habis, ala barat.

"Tapi apabila saya dengar apa yang mereka hasilkan, saya suka dengan gubahan lagu mereka itu. Saya suka dengan mereka punya semangat nak eksperimentasi dengan muzik itu," katanya.

A post shared by Luca Sickta (@lstheofficial) on



Zuhud merupakan sebuah karya yang menggabungkan rentak hip hop dan elemen muzik tradisonal Melayu.

Naskhah yang dihasilkan sepenuhnya oleh rapper dan komposer, Kmy Kmo dan Luca Sickta itu turut menampilkan pelakon Azri Iskandar dalam video muzik mereka.

Lagu yang sudah dilancarkan sejak 20 Disember lalu itu sudah mencecah lebih 970,000 tontonan di Youtube.