"Maaf...Rumah Ni Penuh Dengan Warga Yang Berisiko Dapat Jangkitan" - Yatt Hamzah Tak Penuhi Undangan Beraya, Duduk Rumah Sahaja

ZULHILMI JALIL
Mei 28, 2020 08:25 MYT
Pelakon Yatt Hamzah meluahkan rasa kesal apabila masih ada lagi pihak yang degil dengan melakukan aktiviti ziarah biarpun sudah masuk hari raya kelima.
Menurut Yatt, dia sendiri mengambil keputusan untuk tidak memenuhi sebarang undangan yang diterimanya untuk berkunjung ke rumah saudara dan kenalan bagi berhari raya pada lebaran kali ini.
"Ada juga yang masih ketegaq (degil) ni ya. Macam mana nak buat dengan diorang ni. Yakin takkan dapat jangkitan ke ni?
"Tak perlu syok sangat raya rumah orang. Frontliners kita tak raya, kita dok kalut pula. Kepada yang jemput bonda dan keluarga ke rumah tu..maaf sangat. Rumah ni penuh dengan warga yang berisiko mendapat jangkitan," katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Menurut Yatt lagi, dia berharap agar semua orang memainkan peranan masing-masing dalam memutuskan rantaian Covid-19.
"Kalau betul #KitaJagaKita, cukup-cukuplah beraya rumah ke rumah tu. Dah 5 Syawal ni. Kesianlah kat frontliners tu.
"Usah sia-siakan usaha mereka siang malam berjuang menjaga kita kalau kita pun tak jaga diri kita sendiri, inikan pula nak jaga orang lain," luahnya.
Terdahulu, kerajaan membenarkan aktiviti ziarah dilakukan pada hari pertama Aidilfitri sahaja.
Bahkan, kelonggaran tersebut diberikan secara bersyarat apabila hanya membenarkan tidak lebih 20 orang pada satu-satu masa selain perlu patuh pada penjarakan sosial.
Saksikan program yang menampilkan Yatt Hamzah di Astro pada telefon pintar anda melalui aplikasi Astro GO. Muat turun aplikasi Astro GO di Google Play dan Apple Store sekarang.
Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!
#Yatt Hamzah #Raya #COVID-19