Hiburan
"Maafkan Aku Sahabat" - Tidak Dapat Bertemu Abam Buat Kali Terakhir, Air Mata Fad Bocey Gugur
Pelawak Fad Bocey tidak dapat menahan kesedihan selepas mendapat berita kehilangan rakan rapatnya, Abam atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan, 32.
Menerusi Instagram (IG) miliknya, Fad memuat naik sebuah rakaman video memohon agar semua pihak mendoakan untuk arwah.
"Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum saya mohon doakan kekanda saya, Syed Umar Mokhtar atau Abam telah pulang ke rahmatullah. Allahuakbar," katanya sambil teresak.
Dalam pada itu, Fad yang kini sedang bercuti bersama keluarga di Jepun memohon maaf kerana tidak dapat pulang untuk memberi penghormatan kali terakhir buat arwah.
"Aku minta maaf tak dapat tengok kau buat kali terakhir, maafkan aku.
"Ya Allah, ampuni dia, kau rahmati dia Ya Allah, mudahkan urusan dia Ya Allah..Maafkan aku sahabat," tulisnya lagi di sebuah entri yang lain.
Terdahulu, Abam yang juga anggota kumpulan Bocey meninggal dunia di kediamannya di Gombak.
Arwah meninggalkan seorang isteri, Nor Hidayah dan seorang anak lelaki yang berusia lapan bulan, Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey bin Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey.