Pelakon Iqram Dinzly memaafkan kata-kata netizen yang mengecam dan menghamburkan kata nista kepada dirinya sepanjang lapan bulan berperangai pelik.

Iqram menyedari bahawa kelakuan peliknya sebelum ini mengundang pertanyaan orang ramai hingga dirinya dilabel sebagai orang gila.

"Semenjak arwah bapa saya sakit, saya akui saya tenggelam dalam dunia lain. Selama lapan bulan itu, saya sedar pelbagai tohmahan telah dilemparkan kepada saya.

"Saya memaafkan kejian nista netizen yang mencemuh namun saya tidak dapat menerima jika mereka menyentuh perihal ibu bapa.

"Kini, saya enggan mengulangi kerja 'gila' yang pernah saya lakukan dahulu. Saya sudah bersedia untuk kembali aktif dalam dunia lakonan," kata Iqram.

Iqram ditemui di majlis rumah terbuka Aidilfitri Pencil Pictures and Records anjuran penerbit terkenal Datuk Ayu Puteh di Bandar Sri Damansara pada Selasa.

Menurut pelakon filem Apokalips X ini, dia sudah dua tahun sepi tanpa sebarang tawaran lakonan.

"Kali terakhir saya berlakon menerusi drama bersiri Cinta 11 Syarat pada tahun 2016. Selepas itu, saya menjaga arwah bapa yang sedang sakit.

"Selepas arwah bapa pergi, saya terjebak masuk dalam dunia yang saya cipta sendiri sehingga dapat kembali bermuhasabah diri pada 10 malam terakhir Ramadan lalu," katanya lagi.

Teks: Kamaruddin Razal
Foto: Instagram Iqram