Tidak ubah seperti babak dalam filem Tamil apabila rakaman sepasukan polis dengan bantuan orang awam menghentikan sebuah kenderaan untuk menahan seorang penyanyi dangdut di sebatang jalan yang sesak tersebar di media sosial.

Menerusi video yang tersebar, Saipul Jamil terduduk di atas jalan raya dengan bajunya ditarik sementara orang awam berkerumun untuk memastikan penyanyi tersebut tidak melarikan diri.


Keadaan juga terlihat sangat kecoh dan huru hara malah jalan raya menjadi sesak kerana insiden yang berlaku di kawasan Jelambar, Jakarta Barat, Indonesia pada Jumaat.


Menurut laporan media tempatan, mantan suami Dewi Perssik itu ditahan kerana dipercayai terlibat dengan dadah.

Namun selepas menjalani pemeriksaan, polis mendapati lelaki berusia 43 tahun tersebut bebas dadah.

“Kita telah melakukan tes air kencing terhadap Saipul Jamil dan ia negatif,” ujar pihak berkuasa seperti dilaporkan Kompas.

Berita Trending: Alif Teega Setuju Serah Aset 100% - “Aisyah Dah Jalankan Tanggungjawab Isteri Dengan Sangat Baik


Bagaimanapun pembantu peribadi penyanyi tersebut didapati positif dadah.

Pihak berkuasa juga berkata mereka mengekori kereta berwarna hitam sebelum menahannya di jalan kerana percaya ada individu yang terlibat dengan penyalah gunaan dadah.

Mereka bagaimanapun tidak mengetahui Saipul Jamil berada di dalam kenderaan tersebut sehingga dia ditahan.

“Sebenarnya kami mencari dan mahu menahan individu di dalam kenderaan itu kerana percaya ada terkait dengan dadah.

“Ternyata di dalam ada Saipul Jamil. Jadi kita periksa dia sekali,” kata Kapolsek Tambora Kompol, Donny Agung Harvida.