Siri popular kegemaran ramai SMK kini Kembali dengan musim ketiga! Menariknya lagi, geng SMK akan membawa penonton menelusuri pengembaraan yang menyeronokkan menerusi pengalaman dan cabaran pembelajaran dari rumah (PdPR).

Untuk musim ketiga ini, kehadiran Fara Nadiah dan Kiwi Chong yang membawa watak sebagai Zaitun Zubaidah dan Suzi Wong dalam geng baharu SMK memeriahkan lagi perjalanan siri ini.

Bukan itu sahaja, musim kali ini turut memperkenalkan pelakon dan penyanyi kesayangan ramai seperti Nabila Razali, Emelda Rosmila, Zain Hamid dan Nizam Jentik-Jentik sebagai undangan.

Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecelia Wong, mereka sentiasa berusaha untuk menyajikan kandungan terbaik untuk tontonan seisi keluarga.

“Kami perlu peka dan mengambil berat akan situasi yang perlu dihadapi anak-anak dan ibubapa khususnya dalam mengharungi cabaran melaksanakan PdPR di kediaman masing-masing.

“Justeru, kami di bahagian produksi SMK mengangkat topik ini dan kehidupan norma baharu kita dalam naskhah musim ini, dan kami zahirkannya dalam suasana yang cukup santai dan sarat dengan elemen komedi.

“Harapan kami agar kita semua kekal kuat menempuhi fasa ini dan #KitaTeguhBersama. Semoga anda seisi keluarga terhibur dengan SMK musim ketiga ini. Selamat menonton,” ujarnya ketika ditemui ketika sidang media pelancaran SMK musim ketiga secara maya pada Isnin.

Diarahkan oleh Shamyl Othman, siri ini turut menampilkan pelakon-pelakon baharu seperti Wafiy, Erissa Puteri, Mia Sara, Fikry, Rykarl, Aniq dan ramai lagi.

SMK musim ketiga mengisahkan tempoh PKP kembali dan semua kelas dilangsungkan secara atas talian. Geng SMK perlu mengatasi cabaran yang dibawanya. Namun, mereka belajar bahawa kecemerlangan akademik bukan segala-galanya.

SMK musim ketiga ini akan menemui penonton sebanyak enam episod pada setiap hari Rabu, mulai 25 Ogos 2021, jam 9 malam di Astro Ceria HD (saluran 611).

Untuk pilihan alternatif, siri komedi ini juga boleh ditonton di platform On Demand dan Astro GO pada bila-bila masa, di mana jua anda berada.