Pemergian pelakon veteran Idris Mohd Diah meninggalkan kesan di kalangan teman-teman seperjuangan beliau, termasuk yang pernah bekerja dengan Allahyarham di belakang tabir.

Rata-rata yang berkongsi berita mengenai pemergian dramatis hebat tersebut mengakui khabar duka itu mengejutkan mereka.

Bagaimanapun dalam masa sama, mereka berkongsi mengenai sikap menyenangkan Allahyarham yang sentiasa membuat orang sekelilingnya selesa.

Antaranya, Idris seorang pelakon yang sangat menjaga tutur kata, lemah lembut dan lucu ketika di set penggambaran mahupun ketika melepak bersama.

Salah seorang penata gaya RTM, Farrah Deba menerusi komennya menulis Allahyarham akan memastikan baju yang digunakan ketika berlakon dipulangkan dalam keadaan kemas dan rapi.

Ucapan terima kasih juga tidak lekang daripada bibir pelakon yang sentiasa merendah diri itu.

“Macam mana kita bagi baju bergantung elok kat ‘hanger’ (penyankut pakaian), macam tu la dia hantar balik dan ucap terima kasih.

“Inilah contoh pelakon terbaik yang wajar dicontohi oleh yang lain,” katanya.

Idris meninggal dunia dalam tidurnya di Putrajaya pada usia 61 tahun jam 2.30 pagi semalam (Isnin).

Anak Allahyarham yang dikenali sebagai Alia berkata, bapanya didapati tidak sedarkan diri kira-kira jam 2 pagi sebelum mereka menghubungi ambulans.

Pasukan perubatan yang tiba kemudian mengesahkan Idris meninggal dunia jam 2.30 pagi.

[[BACA: Pelakon Veteran Idris Mohd Diah Meninggal Dunia]]

Antara drama lakonan Idris yang sedang ditayangkan di Astro ialah ‘Jalan Sesat Ke Syurga’ sebagai seorang guru agama bernama Tok Aki.

Allahyarham yang sangat sinonim dengan karakter bapa dan datuk itu merupakan antara pelakon veteran yang cukup disegani dalam industri.

Antara drama yang pernah dilakokan Allahyarham ialah Wadi, Cinta Si Wedding Planner, 7 Hari Mencintaiku, Cucu Tauke Beras, Menantu Bilal, Andainya Takdir, Zahir Tak Terucap, Andainya Takdir 2 dan yang terbaru, 7 Hari Mencintaiku 2.