Penyanyi popular Hael Husaini berkongsi detik-detik mencemaskan ketika terperangkap dalam rusuhan di Paris, Perancis baru-baru ini.

Kata Hael, situasi ibarat berada di medan perang itu antara pengalaman yang tidak boleh dilupakan dalam hidupnya.

"Itu pengalaman yang baru bagi saya, tak sangka pula terjadi ketika saya sedang bercuti dan rusuhan itu betul-betul depan kediaman tempat saya menginap.

"Banyak perkara yang saya dapat lihat dan Alhamdulillah gembira berada di Malaysia.

"Situasi rusuhan itu menakutkan sebab seperti di medan perang. Ada bunyi bom dan senapang merata-rata malah penduduk di sekitarnya pun menasihati saya untuk mengunci pintu dan terus berada di dalam rumah," katanya kepada Gempak.

Terpaksa memendekkan tempoh percutian di Paris, kata Hael sepanjang rusuhan yang berlaku sepanjang hari dia hanya berada di dalam kediamannya demi menjaga keselamatan.

"Sepanjang hari ketika rusuhan berlaku saya duduk dalam rumah dan mengintai dari dalam sahaja.

"Saya tidak mahu membimbangkan keluarga saya memandangkan keadaan ketika itu masih terkawal dan saya berada di tempat yang selamat.

"Sejujurnya insiden itu banyak membuka mata saya. Sehari kemudian saya lihat semua mesin juruwang automatik (ATM) dipecahkan dan banyak harta benda rosak.

"Jadi, saya putuskan untuk memendekkan waktu di Paris selama tiga hari sahaja dan meneruskan perjalanan ke lokasi lain," tambahnya.

Detik cemas kitorg terperangkap kt tunjuk perasaan kt paris. Bayangkan dengan kitorg berlari heret 4 luggage besaw. Bengkak bengkok tulang belakang aku dibuatnya... alhamdulillah hampir sejam berlari sana sini sbb dorg tembak tear gas, akhirnya berjaya naik rumah. Riot ni betul2 bawah rumah kitorg.

A post shared by Tatan Jarros (@tj.8689) on


Dalam perkembangan lain, Hael menjadi artis undangan untuk beberapa rancangan popular Indopek sepanjang Januari 2019.

Antaranya Hael Husaini Special Diari Jakarta 2018 (6 Januari), Hael Husaini Special BROWNIS (9 Januari), Hael Husaini Special Islam Itu Indah (18 Januari) dan Hael Husaini Special Akustik Hael Husaini Jakarta 2018 (27 Januari).

Kesemua rancangan itu disiarkan di saluran Bintang (141).

Foto: GLAM Lelaki, @tj.8689