Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Macam Remy Ishak? Tak Kot, Saya Orang Biasa Jer...” - Latif Romly Mahu Dikenali Sebagai Atlet Sukan Paralimpik

Izwan Isa
12/11/2021 01:50 MYT

Sejak menempa kejayaan meraih pingat emas untuk negara, nama jaguh lompat tinggi para negara, Abdul Latif Romly sering meniti di bibir penggemar sukan. Tidak hanya itu, popularitinya dalam kalangan rakyat Malaysia juga semakin meningkat naik.

Hal ini kerana, selain prestasi sukan, ramai antara wargamaya yang terpesona dengan perubahannya wajah Latif yang disifatkan persis pelakon Remy Ishak sewaktu bertanding pada Paralimpik Tokyo 2020 baru-baru ini.

Berpeluang menemu bual Latif, lelaki berusia 24 tahun itu secara sopan menafikan dakwaan-dakwaan netizen di media sosial yang menyamakan wajahnya dengan wajah pelakon popular itu.

“Macam Remy Ishak? Tak kot, saya orang biasa je. Saya tak ada apalah…” ujarnya kepada Gempak sambil tertawa.

Menurut Latif, dia mahu terus dikenali atas sebab kerjayanya di lapangan sukan dan mahu memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia mengenai sukan paralimpik dengan lebih mendalam.

“Bagi saya, biarlah orang kenali saya atas sebab sukan. Kalau boleh saya nak semua rakyat Malaysia tahu apakah itu sukan paralimpik,” katanya.

Ditanya adakah dia berminat untuk terjun ke bidang komersial, seperti lakonan, jawab Latif: “Kalau berlakon saya memang tak tahu. Tapi kalau jadi model, saya ok. Janji tidak melanggar jadual latihan yang telah ditetapkan untuk saya,” katanya lagi.

Justeru, tidak hairanlah jika Latif menerima lamaran jenama pakaian jalanan Neonate Clothing untuk bergelar muse dan memperagakan busana baharu rekaan mereka di Kuala Lumpur Fashion Week 2021 tempoh hari.

Menurut Latif, perasaannya gugup sebelum pertunjukkan bermula. Namun, segalanya berubah apabila dia sudah berada di atas pentas.

“Pada awalnya, saya memang gementar, maklumlah pertama kali berjalan sebagai model. Tetapi, apabila sudah berada di atas pentas peragaan, rasa gugup itu terus hilang. Alhamdulillah saya berjaya habiskan acara berkenaan,” kongsinya.

Untuk rekod Neonate meraikan atlet negara sebagaimana jenama antarabangsa melantik pemain bola, atlet Olimpik sebagai ikon fasyen mereka dengan menampilkan gaya dan stail yang berbeza daripada kebiasaan mereka di padang.

Dalam perkembangan lain, Latif memberitahu yang dia kini sudah kembali sibuk dengan latihan sebagai persediaan untuk Asia Para Games dan World Para Athletics Championship untuk tahun depan.

“Saya sudah mula sibuk kerana saya target untuk meraih tempat di kedua-dua kejohanan berkenaan. Selain itu, saya dan tunang juga merancang untuk mendirikan rumah tangga pada bulan Disember 2022,” katanya menutup perbualan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!


#Sukan #Model #Latif Romly
;