VIRAL

Madammu Terkilan Dituduh Pilih Kasih Antara Anak Kandung & Tiri - “Berdosa Ke Saya Lahirkan…”

Asyikin Mayudin 16/06/2025 | 08:55 MYT
Dituduh bersikap pilih kasih antara anak kandung dan anak-anak tiri, usahawan dan pempengaruh Madammu meluahkan rasa terkilan terhadap tuduhan yang dilemparkan.

Beri kesan

Menerusi perkongsian di TikTok, Madammu mengakui terdapat komen negatif daripada segelintir pihak memberi kesan terhadap emosi dan perasaan anak-anaknya yang sedang membesar.

“Saya nak kongsikan di sini bukan sebab saya nak buktikan tapi sebab nak jaga emosi dan perasaan anak-anak. Anak-anak saya dah besar semua kadang mereka terkesan dengan komen sebegini,” katanya.

Kata pemilik nama Seiyca Baiduri ini lagi, tindakan individu yang meninggalkan komen sebegitu secara tidak langsung menimbulkan perasan negatif dalam keluarga terutama antara anak-anaknya.

Timbul perasaan negatif

“Awak sedar tak awak sedang bina kebencian, prasangka, iri hati, cemburu, perbandingan di antara adik-beradik iaitu Zahara, Qally dan Ahmadhi terhadap adik mereka, Kayden,” ujarnya.

Pengorbanan seorang ibu

Madammu turut meluahkan rasa terkilan apabila niat dan pengorbanannya sebagai seorang ibu dipertikaikan.

ARTIKEL BERKAITAN: Fazura Artis Paling Cantik Bagi Madammu - “Lawa, Dengan Tingginya, Ada Karisma, Dia Memang Pakej”

ARTIKEL BERKAITAN: “Jangan Salah Faham, Saya Belum Bertudung” - Madammu

Menurutnya, keputusan untuk berkahwin dengan suami yang mempunyai tiga anak bukanlah sesuatu yang diingini apatah lagi keinginan untuk menjaga anak orang lain ketika masih di usia muda.

“Awak fikir saya minta untuk kahwin dengan duda anak tiga? Awan fikir saya nak sangat ke jaga anak orang?

“Awak fikir saya nak sangat ke korbankan masa remaja saya untuk besarkan anak-anak yang mak dia dah meninggal?

“Tapi saya terima, saya terima dengan hati yang penuh. Saya besarkan, buat yang terbaik, bagi pelajaran yang baik, bagi kehidupan yang baik,” ujarnya.

Pertikaikan kasih sayang

Dalam pada itu, Madammu turut mempersoalkan tindakan individu yang mempertikaikan kasih sayangnya terhadap anak kandungnya, Kayden.

“Berdosa ke saya lahirkan seorang anak dari rahim saya dan berikan yang terbaik untuk dia yang baru melihat dunia ni? Adil ke untuk awak pertikaikan apa yang saya buat pada Kayden selepas 13 tahun rumah kami tiada Baby? Adil ke?

“Siapa awak untuk beri pandangan yang boleh menjejaskan emosi anak anak i? Who are you?” tegasnya.

Sekadar info, pada 9 Jun 2023, Madammu selamat melahirkan anak pertamanya secara pembedahan di sebuah pusat perubatan di Kuala Lumpur.

Untuk rekod, Madammu mendirikan rumah tangga pada 2015 yang juga seorang duda anak tiga iaitu Zahara, Qally dan Ahmadhi.

undefined
#Anak Tiri #Pilih Kasih #Anak Kandung #Madammu