Drama premium terbitan Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-siri bakal menemui penonton dengan episod ketiga yang mengisahkan penduduk kampung diserang serigala jadian.

Diarahkan oleh pengarah terkenal Mamat Khalid, episod ketiga ini menampilkan pelakon jemputan aktor Azlan Komeng sebagai Ranjer hutan, Hushairi Hussien dan Wan Raja sebagai serigala jadian.

Episod ini bermula apabila ayam Barkoba hilang dan kemudiannya Pak Jabit menemui tapak kaki haiwan misteri di warungnya.

Keadaan Kampong Pisang yang dipenuhi warga Indonesia yang bekerja dikatakan menjadi punca pada penularan wabak serigala ini.

Kampong Pisang Bersiri-siri menghimpunkan barisan watak komedi daripada francais terdahulu antaranya, Pak Jabit dan Husin daripada filem Zombi Kampung Pisang, Kak Limah (Hantu Kak Limah), Cik Purnama, Chomprak, Joko Anuar, Pembantu Perubatan (Hantu Kak Limah Balik Rumah) dan penampilan watak Barkoba daripada 16 dan 17 Puasa.

Malah, turut memperkenalkan watak sampingan baru seperti Pak Kasim, Pak Din ‘Pest Control’, Pak Karim dan Cik Chun.

Kampong Pisang Bersiri-Siri bersiaran sebanyak 12 episod bermula 7 Disember ini, setiap Isnin, pukul 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).