Mael Totey The Movie Tunjuk Taring! Kutipan Cecah RM700,000 Hari Pertama Tayangan!

Hanafis Haris
Oktober 23, 2020 05:17 MYT
Filem pertama arahan YouTuber, Syahmi Sazli iaitu Mael Totey The Movie (MTTM) mencatat rekod tersendiri apabila meraih kutipan sebanyak RM700,000 sejak ditayangkan bermula semalam.

Dalam hanya tempoh sehari, kutipan tersebut sekali gus menjadikan filem MTTM antara yang tertinggi ditonton di Astro First ketika ini.

Berita membanggakan ini turut dikongsi menerusi Instagram Astro Shaw hari ini.

“Alhamdulillah hampir mencecah RM700,000 pada hari pertama tayangan.

Terima kasih kepada semua yang telah menyokong dan menonton filem MTTM.

“Strim MTTM menerusi Saluran 480, Astro GO atau Ultra Box,” kata pengendali akaun tersebut.

Pada yang tidak tahu, MTTM merupakan karya sulung Syahmi dalam bentuk filem.

Selain Syahmi sebagai watak utama, MTTM masih mengekalkan bintang YouTube iaitu Asif dan Yoe Parey.

Untuk rekod, MTTM mengisahkan seorang pemuda lurus bendul, Mael yang berusaha pelajari Bahasa Inggeris demi memenuhi syarat gadis idamannya, Yaya.

Tetapi Mael bertemu cinta sejatinya bersama cikgu Bahasa Inggeris yang mengajarnya. Konflik antara Mael, cikgu dan Yaya diselesaikan oleh empat budak istimewa, Asif, Yoe, Yatin dan Bedul.

Ingin mengetahui apa yang akan terjadi seterusnya, saksikan filem Mael Totey The Movie yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First saluran 480 mulai 22 Oktober ini.

Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.