BERITA

Maghribi 'Henti' Ibadah Korban Pada Tahun Ini

Gempak 28/02/2025 | 14:55 MYT

Pemerintah Maghribi menitahkan rakyat negara itu supaya tidak melaksanakan ibadah korban pada Aidiladha tahun ini kerana kemarau berpanjangan telah memberi impak kepada ternakan kambing biri-biri hingga melonjakkan harga daging haiwan itu.

“Negara kita sedang berdepan cabaran iklim dan ekonomi yang mengakibatkan kemerosotan teruk dalam hasil ternakan,” menurut titah Raja Mohammed VI yang dibacakan Menteri Hal Ehwal Agama, Ahmed Toufiq menerusi siaran TV pada Rabu.

Kemarau selama tujuh tahun berturut-turut menyebabkan kejatuhan sehingga 38 peratus jumlah ternakan kambing biri-biri dalam tempoh 12 bulan.

Kementerian Pertanian memaklumkan taburan hujan juga mencecah paras 53 peratus lebih rendah berbanding purata tiga dekad lalu.

Difahamkan, pemerintah terdahulu yang juga bapanya, Hassan II pernah membuat titah sama pada 1966 ketika Rabat berdepan situasi serupa.

Kekurangan bekalan ternakan itu menyaksikan kenaikan melampau harga daging, sekali gus membebankan golongan miskin yang berpendapatan secara purata kira-kira 290 euro (RM1,339) sebulan.

Sumber: Sinar Harian

#Raya #Korban #Henti #Maghribi