Personaliti terkenal Datuk Mahadzir Lokman, 60, dilaporkan stabil dan akan menjalani rawatan seminggu lagi sebelum dia dibenarkan keluar wad.

Mahadzir sudah dipindahkan ke wad biasa selepas dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sejak Ahad.

Adiknya, Danial berkata, keadaan abangnya stabil dan sudah mula berbual-bual dengan ahli keluarga dan pelawat.

“Dia cukup bersemangat sejak semalam dan boleh berbual dengan pelawat.

“Bagi pihak keluarga, saya ucapkan terima kasih kepada kakitangan ICU PPUM diketuai Perunding Kanan, Profesor Syahnaz Hasan,” katanya.

Mahadzir kritikal selepas ditemui tidak sedarkan diri oleh keluarga pada Ahad lalu.

Mahadzir mempunyai kebolehan bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis dan sering diundang menjadi pengacara pelbagai acara bertaraf antarabangsa.

Sumber: Harian Metro