HIBURAN

Mahalini Rehat Menyanyi Nak Urus Anak, Rizky Febian Nafi Overprotective

Maliah Surip 21/08/2025 | 15:25 MYT
Kelibat penyanyi Mahalani di pentas menghiburkan peminat tidak lagi kelihatan sejak dia melahirkan anak sulung bersama Rizky Febian pada 15 Februari lalu.

Tanpa berselindung, Rizky memberitahu isterinya memilih untuk berehat daripada dunia nyanyian demi memberi fokus kepada puteri mereka, Zairee Selina Quinlyn Kareema Febian.

Sebagai suami, penyanyi Hingga Tua Bersama itu juga mengatakan dia menyokong keputusan Mahalini meski sedar karier isterinya cukup bersinar.

“Mahalini sedang memberi fokus kepada anak kami jadi dia memilih untuk berehat dalam dunia muzik.

“Sebagai suami saya harus menyokong keputusan Mahalini. Saya tahu dia punya banyak impian termasuk di dunia muzik.

“Jadi doakan Mahalini kembali ke dunia muzik dan berkarya semula. Mohon ditunggu ya,” ujar Rizky seperti dilaporkan Detik.com.

Rizky kemudian membidas dakwaan kalau dirinya terlalu overprotective atau melindungi Mahalini sejak mereka berkahwin dan memiliki seorang anak.

“Saya tidak overprotective. Kami juga berada di dalam bidang yang sama. Dan sebagai suami saya tahu Mahalini punya banyak impian yang mahu dicapai. Saya tetap akan mendukungnya,” kata anak pelawak Sule itu.

Terdahulu pernikahan pasangan selebriti ini sempat menjadi kontroversi kerana dikatakan tidak sah.

Rizky dan penyanyi lagu Sial yang menikah di Bali pada 10 Mei 2024 itu kemudian mengulang pernikahan pada 27 Disember tahun yang sama bagi memastikan ikatan suci mereka bukan hanya sah dari segi agama tetapi juga undang-undang negara..
#Penyanyi #Anak #Indonesia #Rizky Febian #Rehat #Mahalini