Mahligai 17 Tahun Musnah, Opie Zami Sah Bercerai Talak Satu
Pelakon dan pengarah Opie Zami sah bercerai talak satu dengan isteri, Zamzarina Mohamed di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur hari ini.
Opie atau nama sebenarnya Mohamad Soupi Zami, 46, melafazkan cerai terhadap Zamzarina, 43, di hadapan Hakim Syarie, Ahmad Mahir Zanial.
Selepas mendengar lafaz cerai itu, Ahmad Mahir memerintahkan Zamzarina untuk melalui proses tempoh edah selama tiga bulan.
Zamzarina diwakili peguam syarie, Azmanira Ismail @Zanudin, manakala Opie tidak diwakili peguam.
Opie ketika ditemui di luar mahkamah berkata, dia reda apabila rumah tangga yang dibina selama 17 tahun itu terlerai selepas segala usaha untuk menyelamatkan rumah tangga dilakukan.
“Isteri saya tak salah, saya yang salah kerana gagal membentuk isteri saya menjadi isteri yang misali.
“Isteri saya bagus, seorang ibu yang baik. Punca perceraian terlalu peribadi untuk saya kongsikan,” katanya yang memberitahu sudah tidak tinggal sebumbung sejak 3 Ogos lalu.
Sementara itu, Zamzarina mengakui kemelut rumah tangganya sudah berlarutan sejak 2010.
“Ini bukan pertama kali pergi ke mahkamah berhubung masalah rumah tangga, dah tiga kali saya turun.
“Lepas ini saya akan uruskan hak penjagaan anak dan tuntutan nafkah,” katanya.
Terdahulu, Zamzarina selaku plaintif memfailkan permohonan cerai pada 16 Mac lalu.
Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2003.
Hasil perkahwinan mereka dikurniakan tiga cahaya mata, Ammar Shah Saidi, 15, Aliff Shah Syedi, 13 dan Arrif Shah Saidi, 8.