Penyanyi Hazama mendedahkan dirinya telah berkolaborasi dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) menyampaikan sebuah lagu patriotik bertajuk Anak Bangsa Malaysia.

Menurut Hazama, proses rakaman telah selesai dilakukan termasuk proses memasukkan suara Tun M.

"Lagu ini telah siap direkodkan namun masih belum berkesempatan untuk bertemu dengan Tun M.

"Proses seterusnya adalah rakaman muzik video dan kami cuba untuk mendapatkan penglibatan Tun M dalam muzik video ini.

"Saya sendiri secara peribadi mahu bertemu dengan Tun M kerana beliau merupakan pemimpin dunia yang dihormati.

"Lagu ini bakal dilancarkan bersempena sambutan bulan kemerdekaan dan Hari Malaysia pada tahun ini," katanya kepada Gempak.

Hazama ditemui pada Majlis Pelancaran Muzik Video Peneman di Hard Rock Cafe semalam.

Pemilik nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi ini juga menegaskan dia bebas untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang mengetuai negara.

"Saya berdiri atas nama seni, saya juga tidak melibatkan diri dengan mana-mana fahaman politik.

"Saya hormati siapa sahaja yang menjadi ketua negara. Saya tidak mempunyai masalah dengan mereka," katanya lagi.