Hiburan
Mahu Fokus Pada Kerjaya Muzik & Keluarga, Ismail Izzani Kongsi Impian Tahun Baru - “Saya Mahu Jaga Ibu Saya”
Masih berbaki beberapa hari sebelum melangkah ke tahun baru, pastinya setiap orang mempunyai azam masing-masing. Begitu juga dengan penyanyi Ismail Izzani, yang turut menyimpan harapan untuk tahun 2025.
Menurut Ismail Izzani, 24, fokus utamanya pada tahun depan adalah untuk menjadi seorang manusia yang lebih baik dan sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik agar mampu melaksanakan tanggungjawabnya sebagai seorang anak dalam menjaga ibunya.
“Azam saya sama sahaja. Bukan pada setiap tahun tapi setiap hari.
“Jadi, azam saya adalah untuk menjadi seorang manusia yang baik dan diberikan kesihatan yang sihat kerana saya mahu menjaga ibu saya,” katanya kepada Gempak.
Ismail Izzani berkata demikian ketika di majlis pelancaran The Imanpiano Experince 2.0 di Aquaria, KLCC baru-baru ini.
Pada masa yang sama, penyanyi yang terkenal dengan lagu Demi Kita itu mengakui bahawa dia lebih gemar menggunakan perkataan goal berbanding azam kerana percaya bahawa manusia sentiasa berubah dari semasa ke semasa.
Tambahnya lagi, Ismail akan memberikan fokus sepenuhnya untuk menghasilkan karya terbaik pada tahun hadapan demi peminatnya.
“Kalau nak kata azam tu, saya lebih suka kata 'goal' saya untuk tahun depan daripada azam saya, sebab kalau kita bercakap tentang azam ni, sebenarnya, minggu depan kita boleh jadi orang lain, semalam pun kita adalah orang yang berbeza, dan esok pun kita mungkin berubah.
“Apa-apa pun, saya sentiasa berusaha untuk menjadi diri saya yang lebih baik daripada siapa saya semalam.
“Untuk matlamat saya tahun depan, ia adalah untuk menghasilkan lebih banyak muzik dan untuk berkongsi serta menghiburkan orang di Malaysia dan di luar Malaysia,” jelasnya.