Hiburan

Mahu Hidup Berdikari, Putera Harry & Meghan Markle Undur Diri Jadi Keluarga Diraja

gempak
Kamaruddin Razal
09/01/2020
04:58 MYT
Sponsor Banner
Mahu Hidup Berdikari, Putera Harry & Meghan Markle Undur Diri Jadi Keluarga Diraja
Putera Harry, 35, dan isterinya, Meghan Markle, 38, dikhabarkan mahu mengundurkan diri untuk tidak lagi bersama keluarga Diraja kerana mahu hidup berdikari.
Perkara terbabit diumumkan menerusi sebuah kenyataan menerusi The Duke and Duchess di laman Instagram mereka.
Dalam kenyataan terbabit juga, keluarga Putera Harry dikhabarkan akan berpindah ke Amerika Utara pada tahun ini.
"Selepas kami berfikir dengan panjang dan telah melakukan perbincangan selama berbulan-bulan, kami sudah memilih untuk melakukan peralihan pada tahun ini bagi memulakan peranan baru yang progresif dalam kehidupan kami sekeluarga.
"Kami berhasrat meninggalkan keluarga Diraja dan bekerja secara bebas sambil terus memberi sokongan penuh kepada Ratu Britain, Elizabeth II.
"Melalui sokongan Ratu, terutamanya sejak kebelakangan ini, kami sedia membuat perubahan.
"Kini, kami merancang untuk membahagikan masa antara United Kingdom dan Amerika Utara dan terus menghormati tugas kami kepada Ratu," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, pasangan suami isteri itu juga turut berbincang mengenai masa depan anaknya, Archie serta perancangan mereka untuk membesarkan anak dengan memberikan penghargaan kepada tradisi Diraja.
"Keseimbangan geografi membolehkan kami membesarkan anak dengan menghargai tradisi Diraja kerana dia telah dilahirkan sebagai kerabat Diraja di samping memberi peluang kepada keluarga kami untuk memberi tumpuan kepada langkah seterusnya.
"Kami tidak sabar untuk berkongsi butiran penuh mengenai langkah seterusnya kerana kami akan terus bekerjasama dengan Yang Mulia Ratu, Putera Wales, The Duke of Cambridge dan semua pihak yang berkaitan. Terima kasih atas sokongan anda yang berterusan," katanya.
Sebelum ini, pasangan suami isteri itu baru sahaja kembali ke United Kingdom selepas bercuti di Kanada selama enam minggu.
Wujudnya dakwaan antara masyarakat United Kingdom yang mengatakan mereka lebih banyak membahagikan masa antara Kanada dan United Kingdom.
Mereka juga didakwa tidak lagi menggunakan gelaran Diraja, His and Her Royal Highness.
Sumber & Kredit foto: Vox
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live