Bintang Akademi Fantasia musim keenam, Nubhan mendedahkan dia sudah membuat persiapan sekiranya isterinya, Dr Afifah Tawfek menunjukkan tanda-tanda ingin bersalin ketika majlis pelancaran single terbarunya, Selamat Jalan Cinta.

Menurut Nubhan, ini merupakan single pertama selepas mendirikan rumah tangga tiga tahun lalu.

"Saya terpaksa mengambil risiko membawa isteri walaupun tahu dia dijangka bersalin hari ini.

"Selamat Jalan Cinta ini merupakan lagu pertama saya selepas mendirikan rumah tangga bersama isteri.

"Saya mahu isteri dan anak saya, Aafiyah turut hadir di majlis pelancaran sebagai pembakar semangat saya.

"Walau bagaimanapun, kami sudah membuat persiapan sekiranya dia menunjukkan tanda-tanda bersalin," katanya kepada Gempak.

Nubhan ditemui ketika majlis pelancaran single dan muzik video di Neway Karaoke, One Utama semalam.

Tambah Nubhan, dia enggan menundakan ke hari lain kerana tarikh pelancaran sudah ditetapkan.

"Kami tidak sengaja memilih tarikh ini cuma kebetulan sama.

"Kalau saya menunggu isteri saya bersalin dahulu, terpaksa menunggu selepas dia berpantang pulak," katanya lagi.