Mahu Kerjaya Kiki Fateha Berterusan Dalam Industri Muzik, Aepul Roza Bakal Hadiahkan Lagu Duet - “Saya Mahu Hubungan Bersama Kiki Akan…”
Ainun
10/11/2024 13:55 MYT
10/11/2024 13:55 MYT
Penyanyi Aepul Roza mendedahkan dia kini dalam proses untuk menyiapkan sebuah lagu duet bersama juara The Chosen One 2024 iaitu Kiki Fateha.
Mahu kerjaya Kiki terus bersambung dalam dunia muzik, penyanyi berusia 36 tahun ini berkata karya yang bakal dikeluarkan itu merupakan hadiah buat anak didiknya.
Mahu kerjaya Kiki terus bersambung dalam dunia muzik, penyanyi berusia 36 tahun ini berkata karya yang bakal dikeluarkan itu merupakan hadiah buat anak didiknya.
“Lagu untuk Kiki Fateha sudah separuh siap. Ia adalah lagu duet antara saya dan Kiki. Saya punya rancangan, saya nak ada satu lagu untuk Kiki dan saya mahukan perjalanan Kiki sebagai seorang penyanyi itu bersambung.
“Insya-Allah akan keluar tidak lama lagi dalam masa dua bulan,” katanya kepada Gempak.
Aepul berkata demikian ketika ditemui di konsert akhir The Chosen One musim kedua yang berlangsung di Studio Visual Three, Seri Kembangan, pada Jumaat lalu.
Menurut vokalis kumpulan Drama Band, lagu tersebut mempunyai genre rock balada kerana dia melihat Kiki mempunyai keistimewaan yang sesuai ketika melakukan persembahan di minggu ke ketujuh TCO2024.
“Masa saya dan Kiki menyanyikan lagu Gemuruh, yang berada dalam kategori rock balada, saya rasa macam dia mempunyai keistimewaan dalam genre tersebut dan saya sebagai seorang yang gemarkan lagu rock membuatkan saya rasa saya akan lakukan lagu yang mempunyai genre rock balada sikit untuk Kiki Fateha,” ulasnya.
Meskipun program TCO2024 sudah melabuhkan tirainya, Aepul mahu meneruskan hubungan antara coach dan anak muridnya sentiasa terjalin selain ingin menemani Kiki sepanjang dia kerjayanya di dalam industri muzik,
“Memang dari awal pun saya tidak mahu hubungan yang terjalin menerusi program ini terhenti disitu, saya mahukan hubungan saya bersama Kiki akan berpanjangan dengan apa yang kami ada.
“Saya sangat percaya pada bakat Kiki kerana saya suka pada kualiti yang ada pada dia. Bukan semata-mata pada kualiti nyanyian tapi dengan cara dia berfikir dan cara dia bekerja.
“Jadi, saya sangat suka dan saya sangat percaya perjalanan kerjaya Kiki tidak terhenti di program ini.
“Panjang lagi perjalanan dia dan saya nak jadi orang yang berada di sebelah dia untuk menemami perjalanan dia dalam dunia industri ini,” kongsinya.
Penyanyi lagu Biarkanlah itu berkata dia hanya melakukan tugas yang diamanahkan tersebut dengan baik kerana tidak mahu ada sebarang penyesalan berlaku selepas persembahan mereka tamat.
“Saya hanya menjalankan tanggungjawab yang diberikan kepada saya sepenuhnya. Cuma, saya boleh katakan adalah ini ialah rezeki Allah S.W.T berikan kepada saya.
“Apa yang saya lakukan, saya cuba lakukan yang sehabis baik 110 peratus supaya kita tidak ada sebarang penyesalan walaupun menang atau tidak itu semua adalah rezeki tuhan,” jelasnya.
Sekadar info, Kiki Fateha telah menjuarai program The Chosen One musim kedua dengan persembahan nyanyian yang memukau juri melalui lagu Butter (BTS), Kau Kekasihku (Datuk Seri Siti Nurhaliza), dan Jangan Kau Mimpi (Allahyarhamah Siti Sarah).