Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Mahu Luangkan Masa Bersama Anak, Ajak Shiro Tolak Tawaran Berlakon

Mya Amri 07/03/2017 | 14:34 MYT
Pelawak Ajak Shiro akui menolak beberapa tawaran berlakon demi meluangkan masa bersama anak-anaknya.
Menurut Ajak atau nama sebenarnya Mohamad Hanaffi Razak, 32, dia tidak mahu disebabkan jadual kerja yang padat membuatkan anak-anaknya terasa diabaikan.
"Berlakon akan ambil masa yang lama di lokasi penggambaran.
"Cukuplah jadual saya padat dengan tugasan sebagai penyampai radio dan juga Maharaja Lawak Mega 2017.
"Selain itu saya juga banyak terlibat dengan program-program radio dan disebabkan kekangan waktu, saya berani ambil risiko terima tawaran berlakon.
"Kalau boleh saya tidak mahu anak-anak saya terasa seperti diabaikan jika terlalu sibuk dengan kerja.
"Saya juga akan pastikan setiap hari Sabtu dan Ahad saya akan luangkan masa bersama anak-anak.
"Jadi buat masa ini saya rasa biarlah saya tolak dulu tawaran berlakon," katanya.
Ajak ditemui ketika majlis lepak santai bersama penyampai Hot.fm dan Kool.fm bertempat di Sime Darby Convention Centre, petang tadi.
Mengulas mengenai kerjayanya sebagai penyampai radio, Ajak memberitahu dia selesa digandingkan bersama Shuk Joras dan Fizie menerusi segmen Geng Pagi Hot.
"Saya tidak mempunyai masalah bergandingan dengan Shuk dan Fizie.
"Walaupun baru tiga bulan Shuk sertai kami, saya kagum dengan cara kerjanya.
"Kadang-kadang orang ingat bila dilabel pelawak, kami ini jenis yang tidak serius.
"Sebenarnya salah, bila waktu kerja kami memang serius dan itu yang saya nampak ada pada Shuk," ujarnya.
Segmen Geng Pagi yang dikendalikan oleh Ajak, Shuk dan Fizie bermula pada jam 6 hingga 10 pagi.
Terdahulu, Ajak telah berkahwin dengan Afifah dan dikurniakan tiga orang cahaya mata, Mohd Jad Thaqif, 7, Mohd Had Thaqif, 4, dan Nada Soffea, 2.
Teks oleh: Mya Amri
#Anak #Pelawak #Ajak Shiro
;