Mahu Raikan ‘Monthsary’, Yazmin Aziz Sanggup Terbang Ke Filipina Demi Bersama Kekasih
Personaliti media sosial, Simon Joseph Javier akui terkejut apabila kekasih hatinya iaitu penyanyi dan pelakon, Yazmin Aziz sanggup terbang dari Malaysia ke Filipina semata-mata untuk meraikan ulang bulan percintaan atau monthsary bersama.
Menerusi satu hantaran di platform Threads, Simon meluahkan rasa terharu dengan kejutan istimewa yang diberikan oleh Yazmin.
“Tiada yang lebih indah daripada rasa terkejut bila insan tersayang muncul depan mata. Dia sanggup datang jauh dari Malaysia ke Filipina semata-mata untuk bersama saya sempena ulang bulan kami.
“Saya sangat hargai setiap usaha dan pengorbanan awak, sayang. Cara awak tunjukkan kasih sayang benar-benar bermakna buat saya,” tulisnya.
Dalam hantaran sama, Simon turut meluahkan rasa cinta yang mendalam terhadap Yazmin dan berjanji untuk membalas kebaikan kekasih hatinya itu.
“Hubungan jarak jauh memang mencabar, tapi cinta kami lebih kuat dan kami sentiasa berjaya harunginya bersama. Tak sabar pula nak buat kejutan untuk awak nanti,” tambahnya.
Sebelum ini, Yazmin secara terbuka mengakui dirinya sedang menjalinkan hubungan cinta bersama Simon selepas berkenalan menerusi media sosial.
Menurut Yazmin, dia terpikat dengan sikap penyayang serta keperibadian positif yang dimiliki duda anak satu itu sepanjang tempoh perkenalan mereka.