Hiburan
Mahu Segera Jadi Bapa, Amar Baharin Rancang 4 Anak Dengan Amyra Rosli
Pelakon Amar Baharin, 31, akui tidak sabar mahu bergelar bapa selepas selamat bernikah dengan Amyra Rosli pada 11 November 2016.
Amar Baharin berkata dia merancang mahu menimang empat orang cahaya mata bersama isterinya.
"Saya memang mahu segera timang cahaya mata kerana sesungguhnya saya tidak sabar hendak jadi bapa kepada anak-anak kami.
"Malah kami merancang untuk menimang tiga atau empat cahaya mata bersama sama seperti jumlah adik beradik keluarga kedua-dua belah pihak kami.
"Namun apa-apa pun kami berserah segalanya kepada rezeki dan ketentuan ilahi," katanya kepada media selepas mereka diijabkabulkan.
Pasangan tersebut dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan iaitu Rosli Awang dalam sebuah majlis pernikahan di Hotel Premiera Kuala Lumpur.
Sementara itu, Amyra Rosli berkata Amar mempunyai sifat-sifat seorang lelaki yang meyakinkannya untuk menjadikan jejaka itu sebagai teman hidupnya.
"Dia (Amar) seorang lelaki yang gentlemen sebab apa- apa pun dia mesti dahulukan saya. Malah sentiasa ada dikala susah dan senang.
"Paling meyakinkan saya, dia punya sikap yang banyak persamaan dengan bapa saya iaitu seperti membawa kereta dengan cermat jauh beza pula dengan saya.
"Saya harap perkahwinan kami dapat berkekalan hingga akhirnya," katanya.
Pasangan inj bakal berbulan madu ke Tokyo, Jepun pada penghujung November ini.
"Saya hanya ikutkan Amyra sebab dia suka pergi taman tema jadi tumpuan kami nanti pasti ke Disneyland.
"Kami akan mengambil peluang berbulan madu ini untuk berehat memandangkan kami masing-masing sudah lama tidak bercuti dan sibuk dengam kerjaya lakonan," kata Amar.
Mempelai ini bakal diraikan dalam majlis resepsi sebelah pihak perempuan di Hotel Primiera pada pada Sabtu, 12 November.
Manakala majlis resepsi bagi pihak lelaki bakal diadakan di Ampang pada 19 November depan.
Teks oleh: Syafiqah Jalal