Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
HIBURAN

Mahu Tutup Buku Lama! Aina Abdul Mahu Lebih Fokus Dalam Bekarya - “Saya Memilih Untuk Menulis Dalam…”

Gempak 23/04/2025 | 12:55 MYT

Penyanyi, Aina Abdul akui dugaan yang melanda dirinya selepas Anugerah Juara Lagu ke-39 (AJL39) benar-benar mencabar.

Namun jelas pelantun lagu Terus Hidup itu, insiden itu memberinya ketenangan dan lebih fokus untuk berkarya tanpa sebarang gangguan atau tekanan daripada persepsi luar.
“Enam tahun bertanding bukan tempoh yang singkat, agak lama. Selepas majlis anugerah itu, saya memilih untuk menulis dalam diam. Badainya sangat kuat sehingga saya ambil keputusan untuk berdiam diri.
“Mental saya lebih tenang kerana saya boleh menulis tanpa memikirkan persepsi orang lain. Sekarang saya sedang menulis yang sedap di halwa telinga. Saya ingin berikan sesuatu yang orang suka putar banyak kali,” katanya.
Pada masa sama, Aina juga menyatakan bahawa dia akhirnya memahami betapa mencabarnya untuk bertahan dalam industri.
Bagaimanapun, Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani tidak lagi mahu terlalu memikirkan tentang apa yang berlaku dan kini lebih bersedia untuk bangkit semula dengan karya terbaharu yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.
“Selepas beberapa tahun menyertai acara itu, saya baru tahu betapa mencabarnya menjadi anak seni. Orang lebih nampak perkara yang negatif. Hilang diri dari sosial media adalah pilihan sendiri supaya dapat refleks diri.

“Apa pun, saya sudah tutup episod itu dalam hidup saya dan sekarang lebih semangat untuk lancarkan lagu baru. Saya tahu dalam industri ini ada yang mahu lihat saya jatuh,” ujarnya.

Sebelum ini, Aina menjadi sasaran netizen termasuk buli siber dan ‘face shaming’ selepas persembahan dalam AJL 39.

Segelintir netizen seolah-olah tidak menghargai bakatnya, malah ada yang bersorak gembira ketika gagal membawa pulang hadiah utama pada pertandingan itu.
Sumber: Oh! Bulan