Benarkah tujuan wanita yang hidup berpoligami atau bermadu hanya mahu mengejar ganjaran Payung Emas? Hakikatnya hanya mereka yang melaluinya sahaja tahu dan faham.

Apa yang pasti drama siri original dari Gempak terbaharu berjudul The Maid membawa kisah wanita bermadu yang tersendiri dan menarik untuk ditonton.

Meskipun menampilkan aksi komedi namun dikejutkan dengan kisah penuh misteri tentang pembunuhan salah seorang isteri.

Drama The Maid menampilkan aktor Norman Hakim yang membawakan watak utama sebagai Mr. Jay iaitu lelaki yang mempunyai empat orang isteri.

Menariknya ia menampilkan pelakon popular yang membawakan watak empat isteri, iaitu Sherry Alhadad, Mira Filzah, Datin Eina Azman dan Ezatty Abdullah.

Bukan sahaja menonjolkan watak isteri-isteri tetapi The Maid sudah tentu menampilkan kisah pembantu rumah kepada setiap isteri Jay.

Antara pelakon pembantu rumah yang menjayakan drama siri ini adalah Eida Moin, Zarina Zainoordin, Nadya Shahera, Siti Khadijah Halim dan Isha Norsham.

The Maid mengisahkan seorang lelaki bernama Jay seorang penulis novel yang popular. Di mata masyarakat, Jay dan empat isterinya hidup dengan penuh harmoni dan kasih sayang tetapi sebenarnya tidak. Setiap daripada mereka membenci antara satu sama lain dan hanya berpura-pura bahagia.

Bagaimana pun, hanya pembantu rumah mereka sahaja tahu cerita sebenarnya. Konflik timbul bermula dengan kematian isteri keempat Jay iaitu Elisa lakonan Mira Filzah. Elisa dijumpai mati ketika Jay dan isteri-isterinya mengadakan makan malam dan ketiga-tiga isteri Jay yang lain merupakan suspek pembunuhan.

Penyiasatan bermula dan rahsia demi rahsia milik isteri Jay telah dibongkar. Situasi menjadi lebih misteri apabila Citra lakonan Siti Khadijah Halim muncul sebagai pembantu rumah yang baru.

Siapakah dalang disebalik kematian Elisa? Semuanya bakal dibongkar menerusi The Maid yang akan mula ditayangkan pada 6 Januari 2021, setiap hari Rabu, jam 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).

Tonton trailer The Maid yang bakal membuat anda tidak sabar untuk menonton episod pertama Rabu ini:
View this post on Instagram

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)

A post shared by Astro Gempak (@astrogempak)