Hiburan

Majalah Gila-Gila Dalam Aplikasi GG Komiks

gempak
Kamaruddin Razal
02/05/2019
13:54 MYT
Sponsor Banner
Majalah Gila-Gila Dalam Aplikasi GG Komiks
Mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan kartunis dan karya tempatan majalah Gila-Gila, aplikasi GG Komiks secara digital, membolehkan orang ramai memuat turun semua isu yang pernah diterbitkan sebelum ini sejak 1978.
Tokoh kartunis Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali Datuk Lat hari ini melancarkan aplikasi di telefon pintar dan tablet itu, bagi membolehkan peminat komik menikmati karya seni tempatan di hujung jari.
Ketua Pegawai Eksekutif Gila-Gila Digital, Syafeeq Shahman Jaafar berkata platform digital berkenaan menghimpunkan karya terbaharu, dan koleksi komik Gila-Gila yang mendapat tempat di hati pelbagai lapisan masyarakat sejak mula diterbitkan 41 tahun lalu.
"Kita ambil masa lapan bulan untuk membangunkan aplikasi ini. Tujuannya kita lihat industri komik negara sudah teruk, kerana perlu bersaing dengan komik negara luar dan tiada platform baru.
"Jadi usaha mendigitalkan semua isu yang telah diterbitkan sejak isu pertama diharapkan dapat mengembalikan nostalgia buat individu yang sempat melalui era 80-an dan 90-an yang ketika itu industri komik negara sangat sarat dengan karya-karya tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran aplikasi GG Komiks itu di pada majlis di Rumah Kartun dan Komik Malaysia di sini yang turut dihadiri empat pengasas awal majalah Gila-Gila yang juga kartunis iaitu Datuk Azman Yusof, Sariman Mior Hassan, Jaafar Taib dan Zainal Buang Hussein.
Majalah Gila-Gila, tidak dinafikan sudah mencapai status `legenda' di negara ini, dengan dikenali sebagai pendahulu kepada komik berbentuk satira, walaupun mereka bukan yang pertama - majalah tersebut berjaya membentuk pemikiran masyarakat dengan persembahan yang sedikit sebanyak berilmiah, tetapi disampaikan dalam bentuk sinis dan sarkastik.
Syafeeq Shahman berkata untuk permulaan, kira-kira 20 naskhah Gila-Gila yang awal telah dimuat turun dalam aplikasi GG Komiks yang merupakan hasil usaha sama antara Gila-Gila Digital dengan Creative Enterprise Sdn Bhd.
"Selepas ini, kita akan masukkan satu isu dalam seminggu. Ada lebih 800 isu sejak isu pertama dikeluarkan pada 1 April 1978.
"Prosesnya agak rumit, memerlukan setiap helaian dan panel majalah yang mungkin dah dimamah usia diimbas, sebelum dibersihkan dan disatukan kembali dalam versi yang lebih terang, jelas dan yang lebih penting, tak pecah," katanya.
Aplikasi GG Komiks berkenaan boleh didapati secara percuma di Google Play dan Apple App Store.
Sumber: BERNAMA
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live