Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Majalah Komik Masih Dapat Sambutan, Komik Digital Tiada Jiwa - Ujang

Elrafaei Sapi
04/05/2018 13:51 MYT
Kartunis terkenal, Ujang mengakui sambutan orang ramai terhadap majalah komik masih wujud meskipun disaingi versi digital.

Jelasnya, kecanggihan teknologi menerusi aplikasi tertentu turut membantu kartunis pada masa kini menyempurnakan kerja dengan lebih pantas dan mudah.

"Berbeza ketika menghasilkan karya pada zaman dulu, ianya lebih mencabar dibandingkan kini melukis kartun lebih mudah kerana ada banyak aplikasi," katanya kepada Astro Gempak.

Tambahnya, kartunis lama melalui proses pembelajaran menyiapkan karya bertahun-tahun termasuk penapisan setiap karya dilakukan dengan sangat teliti.

"Sekarang asalkan faktor karya itu cantik, boleh jalan sedangkan karya sebegini tiada jiwa.

"Dulu, kartunis menitikberatkan falsafah dan sasaran pembaca bagaimana. Sebelum melukis, kartunis buat 'brainstorming' dan fikirkan konsep," katanya.

Ujang memberitahu dia dulu bertanggungjawab melatih kartunis baru pada masa itu mengikut minat kartunis itu sendiri.

"Seperti arwah Lengkuas, saya tanya dia dulu kerja apa, dia beritahu sebagai mat dispatch. Tanya Gayour pula, dia suka dengar lagu genre trash jadi saya beri mereka berkarya mengikut minat sendiri," katanya.

Ujarnya, dia juga berkongsi kisah dirinya lari dari kampung ke bandar menerusi Aku Budak Minang.

"Masa itu berlaku masalah mencari identiti dalam diri budak kampung yang ingin tahu kehidupan di bandar yang rupanya berbagai cabaran. Bagaimana, karya sebegini bukan sekadar hiburan kosong," katanya.

Teks oleh: Elrafaei Sapi

Foto: Astro Gempak
#komik #Ujang #Gayour #Lengkuas
;