Berita baik kepada mereka yang merancang untuk berkahwin dan mengadakan kenduri kendara.

Penganjuran majlis sosial kembali dibenarkan namun hanya di negeri-negeri yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Perkara tersebut diumum Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam.

"Aktiviti dan SOP di negeri-negeri PKPB adalah sama dengan pelaksanaan PKBP pertama dahulu, jadi boleh merujuk kepada SOP terdahulu.

"Boleh lah saya menyebut secara ringkas, di kawasan PKPB, majlis perkahwinan, pertunangan, akad nikah, kenduri kendara, majlis akikah, doa selamat, tahlil, sambutan ulang tahun, majlis hari lahir, reunion dan majlis sosial lain dibenarkan, tetapi dengan syarat ada SOP," katanya.

Dalam sidang media itu juga, beliau mengatakan aktiviti mesyuarat, MICE, bengkel, seminar, dan aktiviti bersemuka dibenarkan di negeri-negeri PKPB.

Selain itu, 'dine in' atau makan dikedai seperti ketika PKPB 1.0 dahulu juga dibenarkan mengikut keluasan meja dan mematuhi jarak 1 meter antara meja.

Negeri-negeri yang bertukar status daripada PKP ke PKPB akan berkuatkuasa selama dua minggu bermula 19 Februari hingga 4 Mac.

Negeri yang terlibat adalah Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah termasuk Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Manakala Selangor, Kuala Lumpur, Johor dan Pulau Pinang akan meneruskan pelaksanaan PKP sehingga 4 Mac 2021.