Majlis Pertunangan Dikecam Netizen, Ini Jawapan Elfira Loy

Amri Hassan
Oktober 9, 2017 06:20 MYT
Gahnya majlis pertunangan pasangan Elfira Loy dan Sufian Suhaimi pada petang Jumaat lalu mengundang kritikan netizen.
Rata-ratanya menyifatkan majlis pertunangan itu dibuat untuk menunjuk-nunjuk umpama majlis perkahwinan.
Sampaikan ada juga yang mengecam tindakan Elfira mengenakan dua persalinan hanya untuk majlis singkat itu.
Malah, ada segelintir netizen yang mengkritik majlis pertunangan itu yang sebetulnya tidak perlu digembar-gemburkan kepada umum.
Namun, Elfira pada Jumaat lalu menegaskan majlis pertunangan yang diadakan dengan jemputan tetamu seramai 100 orang itu sebagai satu penghargaan kepada media dan tanda syukur.
"Memang ikut perancangan awal kami mahu adakan majlis pertunangan secara kecil-kecilan, melibatkan keluarga dan kenalan terdekat sahaja.
"Namun, saya sudah lama berada dalam industri seni dan menjadi artis sejak kecil lagi. Jadi, kenapa tidak menjemput rakan media sekali.
"Media pun sudah jadi sebahagian daripada hidup saya jadi saya mahu media menjadi saksi hari penting kami," kata Elfira.
Majlis pertunangan pasangan itu nampak lebih meriah apabila ada pihak yang bermurah hati mahu bekerjasama dengan memberikan tajaan.
Jun lalu, Sufian telah menghantar rombongan merisik Elfira selepas empat bulan mereka berkenalan dan mendapat restu kedua-dua belah keluarga. Majlis itu diadakan secara tertutup.
Usai mengikat tali pertunangan, Elfira dan Sufian akan mendirikan rumah tangga pada Mac 2018 sempena bulan kelahiran Elfira. Lokasi dan tarikh rasmi masih belum ditetapkan.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: IG @elfiraloy
#Elfira Loy #Sufian Suhaimi #Tunang