Hiburan

Mak Cun Sambung Jual Bedak Sejuk Di Istana Budaya Tiga Hari Lagi

gempak
Ahmad Shah
26/11/2015
02:29 MYT
Sponsor Banner
Mak Cun Sambung Jual Bedak Sejuk Di Istana Budaya Tiga Hari Lagi
Atas permintaan ramai, pementasan Teater Muzikal Mok Cun yang mula dipentaskan di Panggung Sari Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, bakal disambung tiga hari lagi bermula 27 hingga 29 November ini.
Teater tersebut yang sepatutnya tamat pada 20 November lalu, mendapat sambutan luar biasa sehingga memaksa pengarah dan penerbitnya Erma Fatima melanjutkan pementasan.
"Keputusan diambil selepas perbincangan bersama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani. Ini kerana ramai yang tidak berpeluang menonton teater itu kerana tiket sudah habis dijual.
"Alhamdulillah saya bersyukur dengan sambutan hangat yang diberikan oleh orang ramai. Barisan pelakon Mak Cun turut berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh semua pihak," katanya.
*Lakonan Datuk Rahim Razali dan Datin Umi Aida mencuit hati penonton*
Sejak mula dipentaskan bermula 13 November lalu, IB dibanjiri penonton setiap malam kerana ramai yang mahu menonton drama bersiri itu di pentas teater.
Ternyata teater yang diangkat dari drama bersiri Mak Cun itu bukan sebuah karya kosong tetapi sarat mesej berguna sekali gus kritikan sosial kepada masyarakat.
Menariknya tentang Mak Cun, watak wanita kampung yang kelam-kabut dan pekat bercakap dialek utara itu bagaikan sudah sebati dalam diri Erma sendiri seperti yang dilihat di televisyen.
Selain Erma, teater ini juga mengekalkan barisan pelakonnya iaitu Datin Umie Aida, Nora Danish, Datuk Rahim Razali, Balkish Semundur Khan dan Betty Rahmad.
Tidak ketinggalan, penampilan wajah baru untuk menyerikan teater ini iaitu Dafi Ismail dan Ungku Ismail.
*Nora Danish menjadi dengan pelat 'Mat Sallehnya'* Pementasan teater Mak Cun turut menyaksikan lakonan hebat aktres berkaliber Fauziah Ahmad Daud atau Ogy, 53, yang memegang watak Chombi.
Walaupun kemunculan Ogy hanya pada penghujung cerita ini, tetapi ia tetap beri impak menarik pada teater ini.
Kemunculan Ogy yang bawa watak Chombi yan juga ibu saudara kepada Zeenat Manisah (lakonan Umie Aida) turut menggamatkan lagi pementasan berkenaan.
Ia juga menyaksikan gandingan semula Erma dan Ogy selepas lebih 20 tahun tidak beraksi selepas fasa ‘perang dingin’ akibat perbalahan yang dicetuskan menerusi telefilem Pengantin Popular pada 1994.
Penampilan Umie atau nama sebenar Umi Kalsum Rahmad Ali yang sering dikenali dengan watak berat dan air mata tidak kurang hebatnya menerusi watak komedi Zeenat Manisah.
Bagai dijangka, Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) ke-26 menerusi filem Sembunyi: Amukan Azazil itu berjaya membawakan watak Zeenat Manisah dengan baik sekali gus menonjolkan sisi lain kerana ia genre ringan dan komedi.
Penampilan Nora, Balkish dan Rahim juga menghidupkan lagi cerita ini seperti dikehendaki skripnya.
Penampilan Ungku Ismail yang membawa watak pegawai Mara juga menghiburkan. Apa yang menarik, Ungku Ismail turut menari tarian Bollywood dalam teater ini.
Begitu juga Dafi yang melakonkan watak lelaki lembut iaitu Meor mencuit hati penonton.
Secara keseluruhannya pementasan ini menghiburkan dan sesuai untuk tontonan seisi keluarga.
Tiket berharga RM36, RM76, RM86, RM106 dan RM156 boleh dibeli secara atas talian dengan menghubungi redtix.airasia.com atau di kaunter Istana Budaya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024