Laman Utama
“Mak, Ok Tak Mak?” - Kebimbangan Siti Nurhaliza Terhadap Ibu Yang Diserang COVID-19 Hilang Apabila…
Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada awalnya mengakui bimbang ketika mendapat perkhabaran bahawa ibunya, Siti Salmah Bachik dijangkiti COVID-19 Sabtu lalu.
Begitupun, pelantun lagu Siapa Tak Mahu itu berkata, rasa bimbang dan cemas mula hilang tatkala dapat berbual dengan ibunya menerusi panggilan telefon.
“Saya mendapat tahu tentang keadaan ibu saya yang dijangkiti COVID-19 selepas menghidupkan semula telefon usai persembahan. Ketika itu saya macam tak tahu nak buat apa sebab risau keadaan mak.
“Walaupun ada saudara duduk bersebelahan, tapi anak-anak tiada. Adik memang tinggal di Lipis dengan mak cuma tak dapat duduk sekali nak monitor ke apa. Saya risau tentang oxygen level dan sebagaimananya.
“Jadi, saya telefon mak… ‘Mak, ok tak mak?’, saya tanya dia. Bila dengar mak bersuara, nada dia kedengaran ok. Mak saya ada semput, jadi bila nada dia begitu, saya rasa lega sedikit untuk buat persembahan pada malam kedua ini,” katanya kepada Gempak.
Siti berkata demikian ketika mengulas mengenai perkongsian Instagram Story yang mengkhabarkan ibunya dijangkiti COVID-19 pada malam pertama konsert Music Of The Soul: An Evening With Siti Nurhaliza yang berlangsung di Dewan Plenary, KLCC Kuala Lumpur pada 5 dan 6 November lalu.
Dalam pada itu, Siti berkata, ibunya tidak mengalami simptom yang teruk, sebaliknya hanya sakit-sakit badan dan batuk pada fasa awal jangkitan.
“Mak kata dia hanya sakit-sakit badan dan seram-seram sejuk. Batuk ada, tapi hanya pada awal jangkitan. Saya risau sangat sebab dia ada asma.
“Buat masa ini, mak hanya kuarantin dan tunggu untuk negatif sahaja. Saya fikir kalau mak dah sembuh, saya nak balik Lipis, melawat mak. Sebab saya pun dah lama tak balik kampung,” katanya lagi.
Siti menambah, emosinya gagal dikawal dan air matanya tumpah sebelum menyanyikan lagu Segala Perasaan kerana sering teringat pada ibunya. Begitupun, Siti enggan larut dalam kesedihan memandangkan ibunya sendiri memberikan kata-kata semangat supaya dirinya melakukan persembahan terbaik pada malam penutup.
“Mak saya nasihatkan saya supaya baik-baik dan buat elok-elok sebab tinggal satu hari lagi untuk saya tamatkan konsert. Secara tidak langsung, nasihat emak itu memberi semangat kepada saya untuk meneruskan persembahan dan memberikan yang terbaik kepada peminat,” katanya lagi.
Pada malam persembahan, Siti turut menampilkan penyanyi rock Datuk Awie sebagai penyanyi jemputan.
Undi bintang digital dan content kegemaran anda di dalam carta mingguan Gempak Most Wanted 2022 di sini. Anda juga boleh membuat pencalonan baharu untuk carta mingguan seterusnya. Selamat mengundi!