Laman Utama
Makan Durian & Berkaraoke Di Ladang Durian, Jamal Abdillah Mohon Maaf – “Saya Sepatutnya Peka…”
Fiza Kamarudin
27/06/2021
|
23:50 MYT
Penyanyi legenda, Datuk Jamal Abdillah mohon maaf dan berharap agar orang ramai tidak mencontohi kesilapannya.
Jamal berkata demikian selepas tular fotonya makan durian sambil berkaraoke di sebuah ladang di Kampung Poh, Bidor, Perak pada Jumaat lalu.
Foto tersebut menjadi pertikaian orang ramai kerana Jamal terlibat dalam majlis sosial yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ketika negara masih dalam pelaksanaan sekatan pergerakan penuh ketika ini.
"Saya ingin mohon maaf. Salah atau tidak, saya tetap nak minta maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya sepatutnya peka dengan SOP dan situasi semasa dalam pandemik COVID-19.
"Tetapi, itulah keadaan saya seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa. Dalam mahu menjaga hati orang, tetapi saya tidak sedar tindakan saya salah.
"Jadi, saya minta maaf banyak-banyak pada rakyat Malaysia. Janganlah mencontohi apa yang saya lakukan," katanya.
Menjelaskan situasi sebenar, Jamal atau nama sebenarnya, Jamal Ubaidillah Mohd Ali berkata, dia berada di ladang berkenaan bagi mendapatkan baja bisnes kolam ikan yang diusahakan.
"Sebenarnya, saya ke tempat pembekal bagi mendapatkan baja untuk kolam ikan yang diusahakan di Bukit Merah.
"Apabila saya berada di sana, kawan-kawan mempelawa saya makan durian kerana secara kebetulan, durian banyak gugur pada hari berkenaan.
"Jadi, saya pun duduk makan. Awalnya, tidak ramai, hanya saya dan isteri serta dua rakan iaitu pembekal baja dan pemilik dusun durian. Disebabkan peminat, saya tidak mahu bersikap menyombong, jadi duduk makan," katanya.
Sementarai itu Jamal mengakui sudah memberi keterangan di Balai Polis Tapah, petang semalam.
"Alhamdulillah, saya sudah memberi keterangan kepada polis kira-kira 15 hingga 20 minit, semalam. Polis sudah melawat kawasan kejadian untuk menjalankan siasatan.
"Mereka juga mendapati kawasan berkenaan ada bekalan baja. Soal denda, saya serahkan kepada pihak berkuasa, cuma saya terangkan situasi sebenar yang terjadi," katanya.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail mengesahkan sudah mendapat keterangan Jamal dan beberapa individu dipercayai peniaga serta penduduk kampung bagi membantu siasatan.
Penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu percaya, rakannya itu mungkin menghantar mesej kepada rakan lain.
"Seorang demi seorang datang, jadilah seperti satu majlis. Mahu dijadikan cerita, ada pula set karaoke di situ. Ketika makan saya buka pelitup muka dan mereka minta saya menyanyikan lagu.
"Mungkin ada individu di kampung berkenaan tidak puas hati dan menularkan gambar kami. Disebabkan itu, saya katakan perkara ini seperti ditelan mati mak, diluah mati bapa.
"Kalau terlalu lurus saya pula dikatakan berlagak. Apabila diikutkan permintaan, begini pula jadinya.
"Bagaimanapun, saya terus balik selepas makan. Saya tiada masalah soal merentas negeri kerana mempunyai surat kebenaran," katanya.
Sumber: BH Online