Acara Bunga-Bunga Cinta Misha Omar, Charity & Fundraising Gala Dinner pada 19 Februari lalu telah pun berjalan lancar dan meriah dengan kehadiran golongan korporat, para selebriti serta orang perseorangan.

Makan malam amal yang berlangsung di Hotel Royale Chulan,Kuala Lumpuritu berjaya mengutip dana untuk mereka yang kurang bernasib baik, kebajikan anak-anak yatim, bantuan kemasyarakatan dan juga modal insan.

Ia mendapat sambutan yang baik apabila meja yang dijual dengan harga-harga dari RM300 hingga RM700 terisi penuh.

Makan malam amal tersebut turut dihadiri oleh YAM Sharifah Khatreena Nuraniah Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail , puteri sulung kepada Raja Muda Perlis serta YB Dato’ Seri Haji Ismail Hj Abd Muttalib , Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Menurut Pengarah Urusan The H Entertainment iaitu Norazirah Abdul Talip, pembahagian untuk sumbangan kepada PAPITA (Persatuan Penyanyi, Pemuzik, Penulis Lagu Tanah Air) dan PERSEDIM (Persatuan Kebajikan Semerah Padi) serta golongan yang memerlukan adalah sebanyak 5 hingga ke 10 peratus selepas ditolak semua harga kos.

“Dalam bulan Ramadan ini, pihak kami akan membuat program CSR bagi infak Ramadan. Jumlah sumbangan ini akan diberikan kelak kepada mereka yang memerlukan.

“Sumbangan dan dana juga turut diberikan kepada pihak (PAPITA) dengan bantuan presidennya, Datuk Malek Ridzuan untuk diagihkan kepada anak-anak seni yang memerlukan,” katanya.

Malam yang penuh bermakna tersebut dimulakan dengan persembahan bakat baru, Zarol Zarif yang membawakan lagu Anuar Zain dan turut memperkenalkan lagu baharunya yang kini sedang mendapat sambutan baik dari pendengar yang bertajuk Kan Kan.

Dafi yang sudah lama agak hilang dari radar dunia nyanyian muncul dengan lagunya Bila Terasa Rindu dan mengubati kerinduan peminat yang sudah lama tidak menyaksikan dan mendengar nyanyiannya.

Acara yang ditunggu-tunggu tiba apabila penyanyi bersuara enak muncul dengan persalinan serba hitam dan bergincu rona merah menyala. Misha Omar memulakan acara dengan lagu Sembunyi yang disulam dengan lagu Dedebu Cinta.

Vokal bertenaga Misha dengan diiringi oleh pemuzik professional tanah air di bawah pimpinan Szewan meneruskan acara dengan lagu Tanpa Rela dengan diikuti dengan bariskan lagu medley Whitney Houston iaitu Run To You, I Have Nothing dan One Moment In Time.

Misha kemudian mengembalikan ingatan penonton terhadap lagu-lagu runut bunyi nyanyiannya iaitu Pulangkan dan Ku Seru.

Celoteh Misha yang manja dan lucu membuatkan penonton sentiasa tersenyum bersulam ketawa-ketawa sepanjang persembahan yang diadakan.

Misha kemudian memilih untuk menyanyikan lagu saduran lagi dan kali ini memilih lagu-lagu Allahyarhamah Sharifah Aini untuk dipersembahkan kepada khalayak. Malah Misha sempat memberi ‘trek bonus’ kepada khalayak dengan membawakan lagu Dato Sri Siti Nurhaliza iaitu Percayalah.

Sebelum mengakhiri malam yang penuh bermakna tersebut, persembahan diteruskan dengan lagu berhantu Misha iaitu Sampai Bila, diikuti dengan rangkaian lagu medley iaitu Halaman Cinta, Semoga Abadi dan Cinta Adam dan Hawa.

Tidak sah kiranya jika lagu yang telah mempopularkan Misha Omar ke persada seni serta tajuk lagu yang diangkat sebagai judul malam amal The H Entertainment ini tidak dinyanyikan.

Selepas mendapat pekikan kuat dari penonton yang tidak puas dengan persembahannya, Misha kemudian muncul dengan lagu Bunga-Bunga Cinta bagi mengakhiri persembahan.