Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Makan Sekali Sehari, Aidit Noh Komited Turunkan Berat Badan Demi Watak - “Berat Saya Turun…”

Izwan Isa
20/01/2023 08:50 MYT
Setiap pelakon pasti mempunyai cara tersendiri dalam menjiwai watak yang diberikan dan hal ini turut sama dipraktikkan oleh pelakon Aidit Noh.

Demi menjayakan watak dalam Zayn menerusi siri terbaharunya, Isteri Halal, Aidit ‘memaksa’ diri untuk mengamalkan gaya hidup sihat supaya berat badan berlebihan dapat dikurangkan.

“Kalau semua perasan, sewaktu saya berlakon dalam Dendam Seorang Isteri, saya kelihatan agak berisi. Ketika itu berat badan saya sekitar 86 kilogram.

“Pada waktu itu, saya tak jaga makan dan berat memang naik mendadak. Jadi, untuk watak kali ini, pengarah Isteri Halal minta saya turunkan sedikit dan alhamdulillah, saya berjaya kurangkan berat sehingga 76 kilogram,” katanya kepada Gempak.

Aditi menambah, dia terpaksa mengikat perut sepanjang proses menurunkan berat badan memandangkan dia hanya mempunyai masa selama dua bulan sebelum memasuki set penggambaran.

“Dalam tempoh itu, saya tidak ke gimnasium sangat. Saya hanya lakukan senam kardio, selain bermain badminton dan bersauna. Saya juga mengehadkan hidangan dengan menjamah makanan sekali sehari selain tidak mengambil nasi dan gula,” katanya.

Ditanya adakah benar seseorang pelakon itu perlu kelihatan langsing di depan kamera dan sukar mendapatkan watak utama jika tidak menjaga penampilan, Aidit berkata: “Dengar juga cerita ada yang perlu turunkan berat untuk berlakon. Jadi saya perlu buat juga.

“Maklumlah, bila kita dah kahwin, sukar jaga makan. Saya akan start betulkan balik gaya hidup. Insya-Allah akan kembali semula ke gimnasium untuk bina badan jika ada masa nanti,” katanya lagi.

Selain Aidit, Isteri Halal turut dibintangi oleh Uqasha Senrosa, Isyariana, Nazim Othman dan Amylea Azizan. Drama adaptasi daripada siri Legal Wife itu bakal ditayangkan di Astro tidak lama lagi.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.

#Berat Badan #Aidit Noh #Isteri Halal
;