Makcik Gelang Pink Dijangka Didakwa Di Mahkamah Hari Ini
‘Makcik gelang pink’ yang tular kerana ingkar arahan kuarantin dengan makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya, Ipoh baru-baru ini dijangka didakwa di mahkamah di Ipoh hari ini, lapor AWANI.
Dia dikatakan akan didakwa di Mahkamah Majistret kira-kira jam 9 pagi Jumaat.
Cawangan Inspektorat dan Perundangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak dalam nota kepada media mengingatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Nota itu turut mengingatkan media supaya memakai pelitup muka dan sentiasa sentiasa mengamalkan penjarakan fizikal.
Pada 21 Julai lalu, foto seorang wanita yang dipercayai melanggar perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah, tular di media sosial sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan netizen.
Foto wanita tersebut yang sedang makan di sebuah kafe di Bandar Meru Raya menunjukkan gelang tangan berwarna merah jambu di tangan kanannya yang menandakan dia di bawah arahan kuarantin COVID-19.
Pada 29 Julai lalu, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, pihaknya telah menghentikan siasatan berkaitan kes itu.
Sumber : Astro AWANI