Seorang penjual aiskrim potong di Terengganu yang tular baru-baru ini tidak dapat menahan sebak apabila pendakwah popular, Ebit Lew menghadiahkannya sebuah kereta secara tunai buatnya.

Keperitan wanita yang menjaga makciknya, seorang wanita orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa menaiki kerusi roda itu mendapat perhatian Ebit Lew.

Menerusi perkongsian di akau Instagram miliknya, Ebit berkongsi perjalanannya ke Terengganu usai solat Subuh pada 1 Ramadan semalam semata-mata untuk berjumpa dua wanita cekal itu.

“Sebak syukur rasa pada 1 Ramadhan kami dapat hadiahkan kereta Produa Beza baru untuk akak yang viral kebaikannya menjaga makciknya sakit oku dengan bawa berniaga kemana-mana dalam motor roda tiga di Terengganu.

“Lepas Subuh terus ke Terengganu. Sampai tadi akak ni terkejut dan gembira. Saya terus bawa kakak ni beli kereta dekat Produa Kuala Terengganu. Baik layanan semuanya terus kami bayar cash kereta ni untuk hadiah pada kakak ni,” tulisnya.

Menerusi perkongsian itu, Ebit turut memuat naik video yang menunjukkan perjalannya ke rumah mereka sehingga menyerahkan kereta berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial, video memaparkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) duduk di bahagian penumpang motosikal roda tiga sambil menahan panas terik mentari.

Turut kelihatan seorang lagi wanita yang membonceng motosikal itu di tengah bandar Kuala Terengganu.

Dalam masa yang sama, Ebit turut mempromosi jualan Wanita itu bagi membantu mereka mencari pendapatan.

“Akak ni kuat kerja jual aiskrim potong. Siapa nak beli aiskrim potong beliau akan hantar dengan motor roda 3 ke mana-mana. Beliau juga tidak suka bergantung dan berharap pada sesiapa. Jika sesiapa nak bantunya boleh beri aiskrim potongnya dan sponsor ke untuk anak yatim atau majlis buka puasa.

“Sebelum ini sambung ijazah sarjana master tapi terhenti kerana keadaan kewangan dan menjaga makcik yang sakit. Beliau berniaga aiskrim di Terengganu,” beritahunya.

Paling menyentuh perasaannya apabila makciknya terharu dan gembira sebaik sahaja kereta itu diserahkan.

“Makcik tadi tiba-tiba pegang tangan saya cium dan ketawa gembira je bila dapat kereta baru. Semoga Allah berkati keluarga ini dan berikan rezeki mencurah-curah buatnya,” ceritanya.

A post shared by Ebit Lew (@ebitlew)