Kecoh di media sosial sejak malam semalam mengenai sebuah video yang memaparkan aksi ‘pertikaman lidah’ antara dua pihak di sebuah apartment, di Kuala Lumpur.

Difahamkan, isu tercetus apabila pasangan suami isteri yang juga penyewa apartment itu dikatakan memiih untuk meninggalkan anak mereka kepada pihak pengawal keselamatan.

Situasi kemudian menjadi tegang apabila pasangan itu mendapati pengawal keselamatan tidak menjaga anak mereka lalu meluahkan kata-kata kesat.

Pun begitu, nasib pengawal berkenaan terbela apabila seorang lagi individu tampil meleraikan pertengkaran tersebut.

Malah, individu tersebut sempat menasihatkan pasangan itu supaya menjaga anak sendiri daripada melepaskan tangan kepada pihak pengawal.

Tidak cukup dengan itu, individu itu turut mencabar pasangan itu membuat laporan mengenai kes tersebut sekiranya mereka di kedudukan yang benar.

Sementara itu, kes itu juga telah menarik perhatian pihak pengurusan dan satu kenyataan mengenai kejadian itu turut dikeluarkan.

“Insiden pertengkaran berlaku melibatkan pengawal keselamatan dan pasangan suami isteri penyewa di Blok B pada hari ini.

“Kejadian berpunca dari tindakan penyewa tersebut meninggalkan seorang anak mereka di meja sekuriti ketika pihak pengawal keselamatan sedang melaksanakan tugas pertukaran anggota untuk melakukan ronda di semua aras Blok B.

“Berdasarkan rakaman cctv, penyewa tersebut telah bertindak memaki hamun pengawal keselamatan kerana tidak menjaga anak mereka, menggunakan kata-kata kesat serta ugutan selain cubaan melakukan kekasaran fizikal.

“Kejadian disaksikan oleh orang awam. Tindakan akan diambil kepada penyewa dan pemilik unit tersebut.

“Pihak polis juga telah dimaklumkan berkenaan insiden in bagi siasatan susulan. Sila ambil maklum bahawa tugas menjaga anak tidak dinyatakan di dalam skop tugas kawalan keselamatan,” kata pihak pengurusan itu.

Isu berkenaan kemudian mencetuskan pelbagai reaksi netizen dan kebanyakan mereka bengang dengan sikap ‘lepas tangan’ pasangan tersebut.

Rata-ratanya mahukan kedua-dua pasangan itu diambil tindakan kerana meminta pengawal keselamatan melakukan tugas daripada luar bidang mereka.