Seorang lelaki bertubuh gempal dikecam warganet selepas rakamannya mengamuk dan memaki hamun pekerja di sebuah premis burger di Ampang menjadi tular.

Menerusi video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi dua minit lapan saat itu, lelaki tersebut turut bertindak ganas merosakkan mesin juruwang di kaunter premis.

Rakaman menunjukkan lelaki terbabit mengeluarkan kata-katak kesat dan kemudiannya menolak mesin juruwang yang berada di atas kaunter restoran berkenaan hingga jatuh ke lantai.

Difahamkan pelanggan tersebut naik hantu kerana berlaku kesilapan pada pesanannya.

Rata-rata warganet tidak berpuas hati dengan tindakan lelaki tersebut yang dianggap biadab tambahan lagi kesemua pekerja ketika itu adalah wanita.

A post shared by 15minit™ (@limabelasminit)


Sementara itu menurut laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mengesahkan telah menerima laporan kejadian itu daripada pengurus restoran pada jam 4.30 petang kelmarin.

Menurutnya, kejadian berlaku jam 12.15 tengah hari apabila seorang pelanggan lelaki datang ke kaunter dan membuat pesanan makanan.

"Lelaki itu memarahi pekerja yang sedang bertugas kerana silap menerima pesanan.

"Polis juga sudah merakam keterangan pengadu dan melawat lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati tiada sebarang kerugian dan kecederaan yang dialami pengadu.
Katanya, pengadu juga tidak berhasrat untuk meneruskan kes berkenaan.