“Maki-Maki Lepas Tu Minta Maaf Pada Saya” - Penangan Datin Mona, IG Ziema Din Pernah Kena Serang
Mya Amri
17/05/2022 08:00 MYT
17/05/2022 08:00 MYT
Pelakon Dendam Seorang Isteri, Ziema Din mendedahkan ada menerima kiriman mesej di akaun Instagramnya yang berbentuk makian.
Menurut Ziema itu adalah antara reaksi penonton yang terlalu geram dengan wataknya sebagai Datin Mona dalam drama tersebut.
“Macam-macam bentuk makian yang saya terima tidak ketinggalan juga yang mesej di Instagram dengan perkataan kesat.
“Tetapi ada juga yang pernah menyerang Instagram saya namun selepas itu dia mesej dan memohon maaf.
“Katanya dia meminati lakonan dan mengikuti Instagram saya. Saya tak ambil hati dan saya kata tak mengapa, okay sahaja.
“Orang cakap kalau marah-marah kita jadi tertekan tapi saya tidak. Saya berasa puas,” katanya kepada Gempak.
Ditanya mengenai karakternya, Ziema mengakui Datin Mona lebih dikenali berbanding dirinya.
Namun dia bersyukur kerana diberi peluang untuk membintangi drama hit tersebut dan membawakan watak yang sedikit berlainan.
“Setakat ini rasanya betul, nama watak Mona itu lebih dikenali berbanding diri saya.
“Alhamdulillah. Sebelum ini orang sinonim kan saya ini sebagai pelakon Mamat Khalid tetapi bila berlakon dengan abang Ijat saya rasa kali ini lain macam pergi dia.
“Saya ini freelance tetapi selagi rasa boleh buat saya terima sahaja. Masa mula-mula mendapat skrip terus rasa macam wow dan ambil tawaran itu,” jelasnya.
Selain drama Dendam Seorang Isteri, Ziema juga pernah membintangi filem Kerja Kahwin, Hantu Kak Limah dan telefilem 16 Puasa.
Saksikan Dendam Seorang Isteri menerusi slot Tiara di Astro Prima (saluran 105), setiap Isnin hingga Jumaat jam 6 petang.
Pada yang terlepas, drama ini juga boleh ditonton di Astro Go dan On Demand.