Penyanyi popular Hollywood, Rihanna telah membeli sebuah lagi rumah mewah bernilai 10 juta USD (sekitar RM41 juta) baru-baru ini.

Memetik laporan The News, rumah baru tersebut terletak hanya bersebelahan dengan kediaman mewah milik Rihanna yang dibeli beberapa bulan lalu pada harga 13.8 juta USD (melebihi RM50 juta).

Pembelian hartanah secara terus menerus itu sudah cukup menunjukkan kejayaan Rihanna setanding bintang berbakat besar lain seperti Beyonce, Madonna, Jennifer Lopez dan ramai lagi.

Malah, penyanyi yang mula meningkat naik menerusi lagu Umbrella ini juga telah diiktiraf sebagai pemuzik paling kaya di dunia oleh Forbes.

Antara sumber kekayaan terbesar penyanyi ini adalah menerusi perniagaan yang dimiliki bersama syarikat LVMH untuk jenama Fenty Beauty.

Selain itu, jualan pakaian Savage x Fenty juga dilaporkan mencecah angka yang sangat luar biasa.