Masih unggul! Itu yang berjaya dibuktikan kumpulan rock lagenda Search selepas berjaya memukau penonton di Anugerah MeleTOP Era 2021/2022 pada Ahad lalu.

Persembahan penuh bertenaga itu menyaksikan Search menggegarkan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dengan medley empat buah lagu berhantu Search iaitu Isi Atau Kulit, Pelesit Kota, Nigina dan Pawana.

“Malam ini bagaikan persembahan pra-konsert daripada Search. Lebih-lebih lagi jarak di antara persembahan malam ini dengan Konsert Endemik hanyalah seminggu.

“Dengan itu, sudah semestinya kami perlu memastikan segalanya berjalan bagaikan dirancang terutamanya dari segi gubahan lagu dan aspek visual.

“Anugerah MeleTOP juga ditonton oleh jutaan penonton dan rakan-rakan industri yang hadir ke PICC, justeru menjadikan acara ini begitu penting buat kami.

“Search amat berterima kasih atas sokongan semua dan memberikan kami semangat yang lebih kuat untuk Konsert Endemik,” jelas Amy selaku vokalis Search yang tampak stylish dalam persalinan daripada Afiq M.

Dalam pada itu, Amy menjelaskan Konsert Endemik akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 4 dan 5 Jun 2022 di sebuah dewan konsert bertaraf antarabangsa yang baru sahaja dibina lengkap dengan fasiliti moden di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

“Konsert Endemik akan meletakkan tanda aras bagi konsert rock di fasa endemik. Namanya juga merujuk kepada situasi global masa kini dan apa yang dilalui oleh seluruh penduduk dunia.

“Search merupakan band yang pertama dipilih untuk membuat persembahan solo di Zepp KL. Kami akan mempersembahkan dua buah lagu baru iaitu Endemik I dan Endemik II termasuk lagu-lagu hit kami yang telah menjadi siulan peminat sejak Search melancarkan album pertamanya.

Dari segi teknikal, kami telah menjemput pakar-pakar tempatan dan antarabangsa seperti Akira Yamauchi, seorang jurutera bunyi yang dikenali ramai, untuk memastikan kualiti Konsert Endemik di tahap yang tertinggi.

Konsert ini juga bakal mendapat sentuhan Genervie (keyboard) dan Arthur Kam (dram), yang merupakan di antara sessionist terbaik di Malaysia.

Pasangan adik beradik ini sememangnya menjadi buruan artis dari seluruh dunia atas kemahiran mereka di dalam bidang permainan dan arahan muzik.

Selain itu, Jiman Casablancas dan Kit Woo akan menggalas tanggungjawab sebagai penata gaya. Faktor-faktor ini menjadikan Konsert Endemik acara yang wajib untuk dihadiri oleh semua peminat-peminat die hard kami”, tambah Amy.

Tiket Konsert Endemiksemakin habis dijual. Dapatkan sekarang sebelum ketinggalan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari lolasia.bigtix.io