Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Malam Nada Biru Edisi Ketiga Kumpul Penyanyi Hebat

Ahmad Shah 04/03/2016 | 09:14 MYT

Malam Nada Biru edisi ketiga yang bakal diadakan di Istana Budaya pada 5 Mac ini (Sabtu), menampilkan penyanyi hebat seperti Salamiah Hassan, Datuk Yusni Hamid, Datin Paduka Julie Sudiro, Adibah Noor, Najwa Mahiaddin, Jaclyn Victor, Atilia Haron dan Dina Nadzir.

Walaupun tidak mempunyai penaja, penerbit Malam Nada Biru, Atilia tidak menjadikan perkara tersebut sebagai isu.
Malah menganggap itu sebagai pembakar semangat buat setiap tenaga kerja yang terlibat untuk membuat persembahan terbaik sepanjang dua malam konsert itu berlangsung.
“Memang pada mulanya saya berasa gusar apabila mendapat tahu tiada penaja yang sudi membuat pelaburan dalam projek ini. Namun lama kelamaan, saya pasrah.
“Saya buat percaturan baharu. Malam Nada Biru adalah medan buat kami untuk membuktikan sokongan penuh terhadap bidang nyanyian. Tanpa berkira dengan soal bayaran.
“Penaja utama kami adalah pengunjung yang membeli tiket. Dengan merekalah kami bergantung harap,” kata Atilia berhubung projek kali ketiga yang dilaksanakan itu.
Wanita berusia 42 tahun juga percaya niat murninya untuk menyatukan lapan penyanyi jazz dan R&B termasuk dirinya dalam satu masa pasti mencipta keajaiban.
Sebelum ini, Atilia pernah menerbitkan konsert yang sama pada 2009 dan 2010. Kali pertama dianjurkan membabitkan Noryn Aziz dan Najwa serta Yuna pada tahun berikutnya.
Menggunakan laman sosial Instagram setiap penyanyi yang terlibat untuk mempromosikan projek yang dijayakan itu, Atilia perlu bijak membuat strategi pemasaran.
Lebih-lebih lagi dalam urusan belanjawan. Atilia mengambil inisiatif untuk menguar-uarkan konsert istimewa di platform berkenaan bagi mengurangkan kos promosi yang lazimnya memakan belanja besar.
Usaha yang dibuat itu membuahkan hasil apabila hampir separuh dari tiket yang berharga RM80, RM180 dan RM200 telah dijual setakat ini.
“Begitu juga dengan hal bayaran penyanyi yang terlibat. Keuntungan yang diperoleh daripada hasil jualan tiket, kami akan bahagi sama rata.
“Saya merancang untuk menjual rakaman konsert ini kepada stesen televisyen. Kalau jadi, keuntungan yang bakal dapat itu juga akan diagihkan menggunakan pendekatan yang sama,” ujarnya lagi.
Malam Nada Biru akan menampilkan lebih kurang dua puluh lima lagu-lagu jazz diiringi dengan muzik akustik dalam suasana yang intim.

#Konsert #Konsert
;