Anak kepada gitaris utama Damasutra Naharuddin Yunus, 55 atau Alok iaitu Ahmad Fadzil mengesahkan bapanya meninggal dunia akibat serangan jantung di Hospital Ampang, hari ini.

Menurut laporan Harian Metro, Ahmad Fadzli berkata, ayahnya meninggal dunia kira-kira jam 3 pagi selepas usaha untuk menyelamatkannya tidak berjaya.

"Malam tadi, saya sempat membawa ayah keluar makan dan seronok melihat dia begitu berselera. Tidak disangka hari ini dia pergi meninggalkan kami," katanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, ayahnya tidak pernah menghidap penyakit itu sebelum ini namun mulai batuk berdarah dan semput pada Sabtu lalu.

"Sebagai anak yang rapat dengannya, saya membawa ayah mengambil ubat di sebuah klinik di Hulu Langat.

“Keadaan ayah bertambah teruk sejurus sesak nafas dan tidak dapat berjalan dengan sempurna, awal pagi ini," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Sehubungan itu, dia membawa ayahnya ke hospital terbabit dan sebaik tiba doktor memberikan ubat.

"Pemeriksaan dilakukan pasukan perubatan mendapati bacaan jantungnya lemah. Tidak lama kemudian, ayah tiada tindak balas sebelum meninggal dunia," katanya.

Katanya, dia masih terkenangkan saat membawa ayahnya ke sebuah restoran untuk makan malam, semalam.

"Saya seronok melihat ayah makan dan teramat sedih kehilangannya," katanya sebak.

Menurutnya, jenazah disembahyangkan di Surau Taman Seri Nanding, Hulu Langat sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dusun Nanding jam 12 tengah hari, hari ini.

Pada majlis pengebumian itu, ahli keluarga, kenalan rakan artis termasuk vokalis Damasutra, Baggio hadir memberikan penghormatan terakhir.

Allahyarham menyertai Damasutra pada 1991 dan memiliki empat album iaitu Antara Sutra dan Bulan, Asyik, Kurnia dan Penawar sehingga 1996.

Sumber: Harian Metro