HIBURAN
Malas Jelaskan Identiti, Vokalis Padi, Fadly Jadi Tukang Ojek: “Rezeki Jangan Ditolak”
Vokalis kumpulan Padi, Fadly menceritakan pengalaman lucu apabila pernah disangka seorang tukang ojek atau individu yang menjadikan perkhidmatan membonceng sebagai pekerjaan. Tukang ojek adalah pekerjaan yang sangat popular di Indonesia.
Menerusi pengakuan yang dibuat dalam YouTube Padi Reborn, penyanyi Menanti Sebuah Jawaban itu, dia telah dihampiri seorang orang tua sewaktu sedang mencuci motor.
“Saya waktu itu sedang cuci motor. Tiba-tiba seorang lelaki datang. ‘Dik tolong hantar saya ke Fatmawati,” dedah Fadly.
Lebih lucu, oleh kerana bingung dia bergegas menghantar lelaki itu ke lokasi yang ingin dituju. Sewaktu tiba di salah satu lampu merah di Fatmawati, lelaki tersebut menghulurkan wang.
“Dia beri saya duit, saya tolak. Saya kata ‘jangan, saya ikhlas’, Tapi dia kata ‘kamu ojek kan?’,” katanya seperti dilaporkan Kompas.
Menurut lelaki berusia 49 tahun itu, daripada menjelaskan identitinya sebagai penyanyi popular, dia memilih untuk mengaku sebagai ojek kerana tidak mahu salah faham yang berlaku menjadi kecoh.
“Jadi saya ambil duitnya. Rezeki jangan ditolak,” katanya lagi sambil ketawa.
Menurut Fadly yang pernah dilabel sebagai lima vokalis Indonesia dengan nilai suara emas, itu bukan pertama kali dirinya berdepan situasi tidak dikenali masyarakat.
Fadly sering disangka ‘orang biasa’ kerana penampilan dan kehidupannya yang sederhana.
“Ada pengalaman saya sedang beratus membeli minyak motor. Ada yang tegur ‘macam Fadly Padi’. Penyanyi kesayangan saya tapi dia tidak percaya.
“Dia lihat saya, dia lihat motor tua saya, Honda CB, dia kata tak mungkin. Mungkin mirip, kebetulan,” ceritanya lagi.